HAMPIR 5,000 PENERIMA BANTUAN KEBAJIKAN KELUAR DARIPADA KELOMPOK MISKIN - NANCY

01/04/2023 03:20 PM

KUCHING, 1 April (Bernama) -- Hampir 5,000 penerima bantuan kebajikan di bawah pelbagai program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah berjaya keluar daripada kelompok miskin sepanjang tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri. 

Beliau berkata jumlah itu terdiri daripada 533,167 penerima bantuan secara keseluruhan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion. 

“Walaupun tidak ramai dari segi jumlahnya iaitu 4,921 orang, tapi sekurang-kurangnya mereka berjaya keluar daripada golongan yang menerima bantuan itu. Jadi kita bantu mereka supaya mereka boleh berdikari,” katanya selepas menghadiri Program Kasih Ramadan anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di sini, hari ini.

Di Dewan Rakyat sebelum ini, Nancy memaklumkan kira-kira 1,500 penerima bantuan yang menyertai program ‘2 Years Exit Programme’ (2YEP) di bawah JKM telah berjaya keluar daripada memerlukan bantuan kebajikan sejak program berkenaan diadakan pada 2016. 

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya menyalurkan peruntukan tambahan RM10 juta kepada RM2.41 bilion bagi tujuan program kebajikan pada tahun ini, berbanding RM2.4 bilion pada tahun lepas.

“Kita ada peruntukan, untuk kebajikan sahaja pada tahun lepas ialah RM2.4 (bilion) tapi pada tahun ini bertambah kepada RM2.41 (bilion) sebab penerima bantuan kebajikan kita telah bertambah. Kumpulan sasar melibatkan golongan asnaf merupakan jumlah penerima tertinggi,” katanya. 

Terdahulu, Nancy yang juga Pengerusi YKN dan Ahli Parlimen Santubong menyalurkan sumbangan bakul makanan kepada 100 penduduk kampung terdiri daripada golongan asnaf dari Kampung Beradek, Kampung Semilang dan Kampung Tiang Api.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan