Kpwkm Serah Kepada Polis Siasat Dakwaan Bayi Perempuan Diabaikan Di Taska

09/04/2023 10:03 PM

KUCHING, 9 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyerahkan kepada polis untuk menyelesaikan siasatan mereka berhubung dakwaan seorang wanita bahawa bayi perempuannya telah diabaikan di sebuah taska baru-baru ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata beliau dimaklumkan bahawa seorang suspek turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu dan akan menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak polis.

“Ia (taska) berdaftar. Sebab itu agak mudah untuk kita mengambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Kasih Ramadan KPWKM di sini hari ini.

Beliau mengulas isu tular di media sosial yang mendakwa taska terbabit mengabaikan bayi perempuan berusia setahun sebulan itu tanpa sebarang pengawasan di dalam bilik isolasi dan telah menjadi mangsa gigitan kanak-kanak lain.

Semalam, KPWKM dilapor telah memberikan notis peringatan serta mengarahkan taska itu ditutup buat sementara waktu.

Nancy berkata pihaknya mengambil tanggung jawab bagi memastikan pengusaha taska berdaftar mematuhi syarat-syarat di bawah Akta Taska 1984 bagi memudahkan pengesanan sebarang kes yang berlaku di premis mereka.

“Malah kami sudah mengadakan garis panduan untuk staf-staf dan kita menguatkan lagi syarat-syarat untuk dipatuhi oleh mereka... dari semasa ke semasa, kita akan melihat apa lagi yang kita perlukan untuk kita memperbaiki keadaan di taska-taska,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan