Eaic Edar 1,500 Bubur Lambuk

10/04/2023 04:52 PM

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)  mengedarkan sebanyak 1,500 bungkusan bubur lambuk kepada orang awam, agensi penguatkuasaan seliaan dan petugas barisan hadapan di sekitar Putrajaya hari ini.

Pesuruhjaya EAIC Tan Sri Mahmood Adam berkata program edaran bubur lambuk itu, yang  merupakan antara agenda di bawah Program E.R.A.T Ramadan EAIC bersama dengan Penguat Kuasa dan Masyarakat, diadakan bagi mengeratkan dan memperkukuhkan jalinan kerjasama antara suruhanjaya, agensi penguatkuasaan seliaan dan masyarakat. 

"Di samping memberi bubur lambuk, kami juga mengadakan kaji selidik untuk mendapatkan maklum balas orang awam mengenai EAIC dan penambahbaikan kepada agensi penguatkuasaan seliaan.

"Orang awam turut diberikan info kesedaran mengenai aduan salah laku yang boleh diadukan kepada EAIC dan saluran aduan yang ada," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata apa saja aduan orang ramai kepada EAIC akan disiasat dan antara contoh aduan yang boleh dibuat selain salah laku anggota penguat kuasa ialah pasport mereka tidak siap dalam tempoh dijanjikan atau laporan polis dibuat tidak diambil tindakan.

"Asalkan melibatkan agensi penguatkuasaan di bawah bidang kuasa Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] yang dilaporkan, kita siasat. Kita terima segala bentuk aduan termasuk melalui e-aduan, surat layang dan laporan berita," katanya.

Mengenai Program E.R.A.T EAIC, Mahmood berkata kempen yang telah memasuki tahun kedua itu, merupakan medium penyatuan antara EAIC, agensi penguatkuasaan seliaan serta masyarakat dalam usaha membudayakan integriti dalam kehidupan dan perkhidmatan serta memerangi dan mencegah salah laku.

"Masyarakat juga diingatkan agar sentiasa meningkatkan keprihatinan terhadap isu-isu berkaitan salah laku dan bekerjasama dengan EAIC untuk meningkatkan akauntabiliti dan mutu integriti agensi penguatkuasaan seliaan seperti polis, imigresen, kastam dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, Mahmood turut mengedarkan bubur lambuk kepada wakil daripada 20 agensi seliaan di bawah EAIC, antaranya Agensi Antidadah Kebangsaan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Tenaga Kerja.

Terdahulu, warga kerja EAIC bersama-sama agensi penguatkuasaan seliaan turut menjalani rakaman takbir raya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Rakaman takbir raya yang diketuai Pengarah Bahagian Dasar EAIC Muhammad Amin Azmi, akan disiarkan semasa hari raya tahun ini melalui platform media sosial EAIC dan agensi penguatkuasaan seliaan di bawah suruhanjaya itu.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan