Syarikat Produksi Gagal Jelaskan Tuntutan Geran Finas Bakal Disenarai Hitam

15/04/2023 01:26 PM

KULAI, 15 April (Bernama) -- Individu dan syarikat produksi yang gagal menjelaskan semula tuntutan dana geran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan disenaraihitamkan daripada menerima sebarang bantuan agensi itu pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata setakat ini tiga daripada 47 individu dan syarikat produksi yang dikenal pasti menerima dana itu tetapi tidak menerbitkan filem, telah memulangkan semula dana tersebut kepada FINAS.

“Kami sokong tindakan FINAS mengeluarkan saman. Kesemua 47 pihak itu telah menerima surat tuntutan dan hanya tiga daripada mereka telah menjelaskan tuntutan berkenaan. Tindakan itu (membayar semula) membuktikan mereka mengakui kesalahan tersebut.

“Bagi mereka yang tidak memberikan apa-apa jawapan dalam tempoh masa diberi, FINAS akan meneruskan tindakan undang-undang dan bawa perkara itu ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sumbangan Baju Raya Sempena Program Cahaya Ramadan Bersama Telekom Malaysia (TM) di pusat beli belah Mydin Mall Kulai di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Yayasan TM Ainol Shaharina Shahar dan Pengarah TM Johor Md Naziruddin Abd Moez.

Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai, berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai FINAS saman 47 individu dan syarikat produksi setelah mereka didapati gagal menerbitkan filem menggunakan dana keseluruhan berjumlah RM20 juta.

Menurutnya tindakan tegas perlu diambil memandangkan dana yang diterima menerusi geran tersebut adalah duit rakyat yang bertujuan membantu produksi tempatan mengembangkan industri perfileman negara.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah meminta FINAS mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) berhubung pemberian geran kepada pemohon agar ia dapat ditambah baik sekali gus memastikan tidak lagi berlaku penyelewengan pada masa akan datang.

“Kerajaan tidak akan memansuhkan dana tersebut hanya kerana wujud penyalahgunaan, namun kami meminta mereka untuk melakukan penambahbaikan terhadap SOP pemberian dana itu,” katanya.

Terdahulu, Teo menyampaikan sumbangan Aidilfitri berupa kelengkapan hari raya bernilai RM200, masing-masing RM150 daripada Yayasan TM dan RM50 daripada Parlimen Kulai kepada 70 pelajar golongan B40.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Prof Dr Md Nasir Ibrahim dilapor berkata dana untuk menerbitkan filem sebanyak RM20 juta yang diberikan kepada 47 syarikat produksi di­dakwa diseleweng untuk kepen­tingan peribadi termasuk melakukan pengubahsuaian rumah dan percutian mewah. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan