Hampir Dua Juta Kenderaan Dijangka Masuk Negeri Sebelah Utara Menjelang Aidilfitri

19/04/2023 01:10 PM

BUKIT KAYU HITAM, 19 April (Bernama) -- Hampir dua juta kenderaan dijangka memasuki negeri sebelah Utara menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata jumlah itu termasuk kenderaan yang akan melalui Kedah untuk ke Perlis dan Pantai Timur.

“Bagi penugasan Op Selamat kali ini, kita memberi tumpuan lebih di lokasi ‘blackspot’ yang kerap berlaku kemalangan. Terdapat 13 lokasi telah dikenal pasti iaitu masing-masing dua lokasi di daerah Kuala Muda, Baling dan Kulim/Bandar Baharu manakala tujuh lokasi di daerah Sik.

“Seramai 220 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ditugaskan untuk memastikan kawalan lalu lintas di seluruh Kedah berjalan lancar dan akan turut dibantu 89 anggota polis daripada elemen yang berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serahan sumbangan Aidilfitri kepada petugas di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (Martak PGA) di sini hari ini.

Wan Hassan berkata orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dengan tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba dan memotong secara berbahaya.

Selain itu, beliau berkata pemantauan oleh unit dron juga akan digunakan sekiranya perlu dan elemen kawalan di pintu sempadan akan lebih diperketat bagi memastikan tidak berlaku sebarang pencerobohon yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Dalam pada itu, Wan Hassan berkata sebanyak 136 daripada 152 pemohonan untuk menjual bunga api dan mercun telah diluluskan di seluruh Kedah.

“Setakat ini, sebanyak 15 kes kesalahan yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM53,000 telah dicatatkan dan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Pasukan pemantau juga sentiasa membuat pemantauan di pasar malam dan bazar Ramadan bagi memastikan hanya bunga api dan mercun yang diluluskan sahaja boleh dijual kepada pembeli,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan