Enam Banduan Dibebaskan Dari Penjara Labuan Dapat Beraya Dengan Keluarga

19/04/2023 03:07 PM

LABUAN, 19 April (Bernama) -- Enam banduan beragama Islam hari ini dibebaskan dari Penjara Labuan di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti).

Timbalan Pengarah Pusat Koreksional Labuan Supt. Richard Robin berkata seorang daripada enam banduan yang dibebaskan  itu berasal dari Sipitang, Sabah, manakala lima yang lain adalah warga Labuan.

Beliau berkata mereka adalah antara lebih 1,000 banduan di seluruh negara yang terpilih bagi pelepasan  Orang Bebas Berlesen (OBB) bermula hari ini.

Katanya kesemua enam banduan yang dibebaskan itu disambut isteri, anak dan saudara-mara masing-masing.

“Pelepasan OBB itu bertujuan memberi peluang kepada mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta sekali gus mengeratkan semula hubungan kekeluargaan.

“Kesemua mereka dijadual dibebaskan bulan depan dan dua bulan lagi, dan mereka telah menunjukkan kelakuan baik serta patuh sepenuhnya dengan program pemulihan sepanjang dalam tahanan,” katanya kepada pemberita selepas pembebasan banduan terbabit di Penjara Labuan di Jalan Bukit Timbalai di sini hari ini.

Richard berkata pembebasan OBB juga bertujuan mengurangkan jumlah pengulang laku jenayah dan kesesakan di penjara.

“Kami berharap ahli keluarga menerima kepulangan banduan tersebut dengan hati terbuka bagi membolehkan mereka menebus kesilapan dan kembali hidup seperti biasa,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata sempena Aidilfitri, Jabatan Penjara akan melaksanakan pelepasan OBB di bawah Program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti).

Anwar berkata pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi penjara Malaysia melibatkan lebih 1,000 banduan sepanjang Ramadan dan Syawal,

--BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan