Banduan Bersyukur, Pbsl Hadiah Sambut Aidilfitri Bersama Keluarga

19/04/2023 04:44 PM

KOTA KINABALU, 19 April (Bernama) -- Rasa syukur, terharu dan gembira terpancar di wajah setiap lima banduan beragama Islam apabila masing-masing dibebaskan awal dari Penjara Pusat Kota Kinabalu dan Penjara Wanita Kota Kinabalu, hari ini.

Kesemua mereka merupakan sebahagian daripada 16 banduan dibebaskan melalui program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena Aidilfitri.

Selain dapat menyambut Syawal bersama keluarga, kepulangan mereka yang disambut oleh ibu bapa, isteri dan ahli keluarga bagai memberi semangat serta sinar baharu kehidupan dalam mencorak masa depan lebih baik.

Seorang banduan wanita, yang hanya ingin dikenali sebagai Siti, 24, berkata pengalaman hidup di penjara banyak memberi hikmah dan keinsafan kepadanya kerana institusi itu banyak mengajar beliau tentang disiplin serta ilmu agama termasuk kewajipan menunaikan solat dan berpuasa.

Dia yang dimasukkan ke dalam penjara pada 3 Jan lepas atas kesalahan dadah itu melihat ia sebagai hikmah dan pelajaran terbesar yang diperolehinya sepanjang berada di tirai besi.

"Sepanjang Ramadan ini, saya belajar berpuasa, solat berjemaah dan mengaji (al-Quran). Sebelum ini, saya tidak pernah buat semua itu termasuk berpuasa. Di penjara baharu saya belajar," katanya kepada pemberita selepas Progam PBSL sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri ‘Kasih Keluarga Sepanjang Zaman’ 2023 di Institusi Penjara Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penjara. Saya tidak sangka boleh beraya bersama keluarga. Ini adalah hadiah. Pagi Hari Raya nanti, saya akan menziarah kubur kedua ibu bapa saya dan kemudian beraya bersama keluarga," katanya yang ingin menyediakan juadah kegemaran sekeluarga iaitu kari ayam dan mi goreng, selain rendang serta ketupat.

Siti, yang sepatutnya dibebaskan pada 24 Julai ini, berjanji kepada dirinya sendiri untuk tidak mengulangi kesalahan pertamanya itu dengan menjauhi najis dadah serta pengaruh rakan tidak baik.

Seorang lagi banduan lelaki berumur 35 tahun dari Sembulan turut bersyukur kerana dibebaskan menerusi program PBSL dan menyifatkan ia cukup bermakna kerana dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga apatah lagi dia sangat merindukan masakan ibunya. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Penjara Mohammad Sa'ad Bantalani, berkata program PBSL diberikan kepada banduan di bawah tempoh hukuman setahun penjara, dan pembebasan mereka dipantau oleh pegawai bertugas di pejabat parol daerah secara berkala, selain memastikan banduan terbabit mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan.

Beliau berkata program itu bertujuan membolehkan banduan menjalani pemulihan dalam masyarakat, selain bagi mengurangkan kemasukan berulang dan kesesakan dalam penjara termasuk di Penjara Pusat Kota Kinabalu, yang kini merekodkan seramai 2,576 banduan berbanding kapasiti sepatutnya kira-kira 1,329 banduan.

Untuk tiga bulan pertama tahun ini, seramai 415 banduan dibebaskan di bawah PBSL masing-masing 139 banduan pada Januari, Februari (143 banduan) dan Mac (133 banduan).

Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Penolong Kanan Komisioner Kesumawati Ilias pula, berharap semua masyarakat memberi peluang kepada banduan terbabit supaya mereka tidak berasa disisihkan dan dapat diterima semula oleh keluarga dan masyarakat kerana sokongan sosial amat penting selain daripada program pemulihan dijalankan jabatan berkenaan.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan