Lebih 8,200 Pelajar Terima Manfaat Inisiatif Bank Rakyat Program Sekolah Tanpa Tunai

19/04/2023 06:01 PM

ALOR SETAR, 19 April (Bernama) -- Lebih 8,200 pelajar dari 29 sekolah di seluruh negara memperoleh manfaat daripada inisiatif Rakan Strategik Bank Rakyat menerusi pelaksanaan Program Sekolah Tanpa Tunai.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata program itu adalah bagi meningkatkan kecelikan kewangan dalam kalangan pelajar dan mewujudkan ekosistem tanpa tunai di peringkat sekolah sekali gus selaras dengan nilai MADANI yang memupuk daya cipta.

“Menerusi Program Sekolah Tanpa Tunai ini, Bank Rakyat menyediakan kemudahan sistem pembayaran tanpa tunai yang menerima kad debit sebagai kaedah pembayaran, perbankan digital kepada pelajar serta terminal pembayaran digital di kantin dan koperasi sekolah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Bank Rakyat sentiasa komited untuk terus membangunkan ekosistem kewangan yang inklusif dalam memastikan segenap lapisan masyarakat termasuk generasi muda dapat bersama-sama menikmati kemakmuran digital seiring dengan saranan Bank Negara Malaysia.

Ahmad Shahril juga berkata Bank Rakyat mengambil peluang mendekati masyarakat terutama pelajar dengan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bermanfaat bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

Beliau berkata Bank Rakyat menyantuni lebih 3,000 pelajar melalui penganjuran Karnival Ramadan Nuri di lima sekolah terpilih iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, MRSM Kuantan, Sekolah Menengah Sains Sabah, Sekolah Menengah Sains Selangor dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.

“Pada masa yang sama, Bank Rakyat menerapkan nilai Ihsan MADANI melalui pemberian sumbangan sempena sambutan Aidilfitri berjumlah RM46,500 kepada sekolah berkenaan untuk diagihkan kepada 310 pelajar asnaf yang terpilih,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan