Sukarelawan Askar Wataniah, Tentera, Maritim Terima Bantuan Khas Aidilfitri

19/04/2023 09:13 PM

SHAH ALAM, 19 April (Bernama) -- Kerajaan akan memperluas Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada tiga badan sukarelawan iaitu Rejimen Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Angkatan Tentera dan Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia susulan permohonan yang dikemukakan badan terbabit.

“Elaun untuk sukarelawan, ada permohonan yang dimasukkan iaitu sukarelawan askar wataniah, sukarelawan angkatan tentera dan sukarelawan maritim. 

“Semua akan masuk bawah bantuan kategori sukarelawan Aidilfitri,” katanya selepas tinjauan ramah mesra bersama peniaga di Bazar Ramadan PKNS di sini hari ini. 

Menurut Kementerian Kewangan, seramai 26,000 orang daripada ketiga-tiga badan sukarelawan akan menerima bantuan khas kewangan yang melibatkan peruntukan RM7.8 juta.

Pada 29 Mac lepas, kerajaan mengumumkan lebih 200,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia, Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM300.

Anwar juga mahu semua rakyat dan pemimpin bekerjasama dalam membersihkan negara daripada masalah lampau terutama rasuah.

Beliau berkata umat Islam dan rakyat di negara ini tidak mungkin dapat mengangkat Malaysia menjadi negara MADANI sekiranya tidak sanggup membuat perubahan di semua peringkat, dari atas sampai ke bawah.

“Sebab itu kalau tindakan keras dan tegas saya mula dari atas kerana rosaknya sistem negara adalah dari pimpinan di atas,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Pelajar Tahfiz serta Anak Yatim di Masjid Ahmadi, Kampung Rantau Panjang hari ini. 

Perdana Menteri berkata walaupun pelbagai slogan berkaitan Melayu, Islam, kesatuan dan keadilan digunakan oleh pemimpin terdahulu namun semua itu tidak memberi kesan serta makna jika tiada keikhlasan dan tekad untuk mengamalkannya. 

“Kita amanahkan pimpinan dan pimpinan silih berganti, berapa ramai Perdana Menteri berganti beberapa tahun ini... tetapi keadaan masih sama, rasuah masih berleluasa... Jadi saya nak ubah, saya nak umat Islam di Malaysia termasuk Selangor ubah persepsi ini... siapa jadi pemimpin, bagi kerjasama dan bertanggungjawab bersihkan negara daripada kekusutan lampau,” katanya.

 Beliau turut mengingatkan umat Islam di Malaysia agar mengambil peluang tempoh saki-baki beberapa hari dalam Ramadan ini untuk terus menjadikan bulan suci ini sebagai madrasah untuk membersihkan kerohanian diri masing-masing serta menghayati pengajaran yang terdapat di dalam al-Quran. 

-- BERNAMA


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan