Bekalan Telur Ayam Di Pantai Timur Mencukupi Menjelang Aidilfitri Esok - Salahuddin

21/04/2023 04:55 PM

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Kebanyakan pasar raya di Pantai Timur masih mempunyai bekalan telur ayam pelbagai gred yang mencukupi menjelang sambutan perayaan Aidilfitri esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan di beberapa pasar raya dan pasar raya besar terpilih di Kelantan serta Terengganu susulan laporan media berhubung isu gangguan bekalan produk itu di Pantai Timur menjelang Aidilfitri.

“KPDN juga sentiasa melakukan pemantauan berkala berhubung keberadaan bekalan telur ayam ke atas 225 premis pengedar peruncit terpilih di seluruh Kelantan. 

"Berdasarkan statistik bekalan telur ayam di premis tersebut sehingga 20 April 2023, sebanyak 220,140 biji stok telur ayam pelbagai gred masih ada di pasaran," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata secara keseluruhan, pihaknya mendapati bekalan telur ayam di Kelantan tidak mengalami masalah dan masih mencukupi untuk kegunaan isi rumah sempena musim perayaan ini.

Beliau juga berkata bekalan telur ayam di seluruh Kelantan adalah stabil melalui pemeriksaan di peringkat runcit dan borong.

Di Terengganu pula, bekalan telur ayam masih boleh diperoleh di pasar raya utama serta kedai runcit di pekan kecil dan hasil pemantauan menunjukkan permintaan terhadap produk itu semakin menurun kerana bazar Ramadan sudah berakhir selain tiada lagi permintaan yang tinggi daripada industri pembuatan kuih, kek dan biskut raya. 

"Telur daripada gred kawalan juga masih banyak dan dijangka mampu untuk menampung permintaan pengguna," katanya.

Salahuddin berkata orang ramai khususnya pengguna di Pantai Timur dinasihat agar tidak panik dan berhemah apabila membeli telur ayam untuk kegunaan pada musim perayaan bagi mengelakkan gangguan ke atas bekalan produk itu di pasaran.

Katanya KPDN akan mempergiat pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negara termasuk pada musim perayaan ini bagi memastikan pengguna dapat menyambut Aidilfitri dengan selesa. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan