22.6 Juta Telur Diedarkan Fama Sejak November Lalu

21/04/2023 11:23 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Ldembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAM) telah mengedarkan sejumlah 22.6 juta biji telur melalui 369 outlet pemasarannya di seluruh negara bermula November lalu sehingga hari ini bagi  menampung bekalan telur ayam di pasaran.

FAMA memaklumkan, ia termasuk sejumlah 349,500 biji telur yang diedarkan di 52 outlet FAMA sebagai langkah intervensi bagi menampung permintaan yang tinggi di Kelantan.

“Berdasarkan pemantauan FAMA, bekalan telur di pasar raya di negeri Kelantan dan Terengganu adalah mencukupi dan dapat memenuhi permintaan pengguna dan tidak berlaku kekurangan bekalan telur ayam seperti yang didakwa,” menurut FAMA dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata kebanyakan pasar raya di Pantai Timur masih mempunyai bekalan telur ayam pelbagai gred yang mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri esok.

Beliau berkata kementeriannya telah mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan di beberapa pasar raya dan pasar raya besar terpilih di Kelantan serta Terengganu susulan laporan media berhubung isu gangguan bekalan produk itu di Pantai Timur menjelang Aidilfitri.

FAMA juga telah mengadakan Jualan Agro Madani seperti Program Ramadan Madani, Program Syawal Madani dan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di Kelantan meliputi 30 lokasi sepanjang bulan Ramadan melibatkan jualan komoditi termasuk telur, ayam dan ikan.

“Ia diadakan bagi kemudahan pengguna mendapatkan barangan keperluan sebagai persediaan menghadapi Hari Raya Aidilfitri,” menurut kenyataan itu. 

FAMA turut mengambil langkah proaktif meningkatkan pemasaran agromakanan negara, khususnya komoditi telur ayam bagi keperluan pasaran domestik menerusi kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“FAMA akan terus menjalankan pemantauan bekalan telur, terutamanya di outlet peruncitan FAMA termasuk pasar raya terpilih di negeri-negeri Pantai Timur bagi memastikan bekalan telur sentiasa memenuhi permintaan pengguna,” katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar Bahasa Melayu melaporkan bahawa berlakunya kekurangan bekalan telur yang kritikal di beberapa lokasi di Pantai Timur sehingga terpaksa dicatu.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan