Pelaksanaan Stesen Minyak Tanpa Subsidi Di Kelantan Di Peringkat Akhir - Naccol

18/05/2023 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi di beberapa negeri lain selepas projek rintis dilaksanakan di Perlis, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata projek di bawah inisiatif Program Ekonomi Sempadan itu dapat menyelamatkan peruntukan subsidi minyak kerajaan, selain terdapat peluang untuk meningkatkan pendapatan negara melalui cukai jualan yang dikenakan terhadap kenderaan asing.

“Projek kini dilaksanakan di Perlis iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian. KPDN sedang peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi terutama di Kelantan.

“Negeri lain yang menyusul adalah Kedah, Perak, Sarawak, Sabah dan Johor,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) di sini hari ini.

Beliau berkata laporan awal Projek Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi yang dilaksanakan di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis mendapati data jualan bahan petroleum bersubsidi menunjukkan penurunan 13.2 peratus bagi diesel manakala 15.7 peratus bagi RON95 di 38 stesen minyak untuk dua bulan pertama.

“Jumlah penjimatan subsidi kerajaan adalah sekitar RM5 juta. Dua stesen minyak tanpa subsidi di Perlis itu mengalami peningkatan jualan sebanyak 14.75 peratus bagi diesel tanpa subsidi dan 43.27 peratus bagi RON95 tanpa subsidi,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata sepanjang pelaksanaan Ops Tisris sejak 1 Mac 2023 hingga 15 Mei lepas, sebanyak 6,095 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara dengan nilai rampasan 2,262,434 liter minyak diesel keseluruhan yang dianggar bernilai RM4,933,692 dengan 124 warga tempatan serta 39 rakyat asing ditahan.

Mengenai bekalan telur ayam, beliau berkata sehingga 8 Mei lepas, sebanyak 28.10 juta biji telur ayam telah diedarkan kepada pengguna. Bekalan itu diedar ke 369 outlet pemasaran  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 

Selain itu, 59 peratus dari bekalan iaitu 16.58 juta biji telur telah diedarkan melalui usaha pengaturan pasaran FAMA bersama usahawan-usahawan pemasar, katanya.

Dalam memastikan kecukupan bekalan makanan terutama di kawasan berkepadatan tinggi, Ahmad Zahid berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)  menjalankan kajian khas profil kependudukan bagi empat daerah pentadbiran terpilih untuk melihat taburan penduduk dan kepadatan penduduk mengikut mukim dalam daerah Bagan Datuk, Port Dickson, Petaling dan Samarahan. 

Beliau berkata DOSM mencadangkan minimum satu pasar tani bagi mukim dengan penduduk antara 3,001 dan 5,000 orang manakala bagi penduduk 100,001 ke atas, dicadangkan minimum 10 pasar tani.

"Secara keseluruhan, adalah dicadangkan untuk menambah 3,791 untuk Semenanjung Malaysia, 64 pasar tani untuk Sabah dan 24 pasar tani untuk Sarawak," katanya.

Beliau berkata FAMA sedang meneliti jumlah penambahan outlet itu bagi tindakan selanjutnya supaya semua rakyat tanpa mengira latar belakang dapat menikmati bekalan makanan yang mencukupi dengan harga mampu bayar.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Program Jualan Khas Ramadan Madani yang dilaksanakan di 268 lokasi dari 17 Mac hingga 14 April 2023 disertai 13,555 usahawan sekali gus menjana RM20.14 juta nilai jualan, manakala program Jualan Khas Syawal Madani yang dilaksana bermula 15 hingga 21 April lepas di 113 lokasi seluruh negara telah mencatat nilai jualan RM14.13 juta dan melibatkan penyertaan 5,562 usahawan.

 Mengenai Program Jualan Agro Madani, beliau berkata 424 operasi yang dilaksana telah menjana RM9.35 juta nilai jualan sehingga 30 April lepas dan dianggarkan penjimatan sebanyak RM1.0 juta telah dinikmati oleh pengguna sepanjang program itu berlangsung.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan