4,154 Asnaf Terima Sumbangan Zakat Sempena Ramadan Babit Peruntukan Rm4.47 Juta

04/03/2024 09:22 PM

KEPALA BATAS, 4 Mac (Bernama) -- Sebanyak 4,154 penerima zakat daripada kalangan asnaf, fakir dan miskin menerima sumbangan Skim Nur Ramadan Zakat Pulau Pinang (ZPP) membabitkan peruntukan keseluruhan RM4.47 juta. 

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata jumlah itu merangkumi sumbangan tunai sebanyak RM2.9 juta, manakala RM1.56 juta lagi sumbangan hamper.

Beliau berkata program itu dilaksanakan untuk membantu dan meringankan beban golongan berkenaan bersempena dengan kedatangan Ramadan dan Syawal setiap tahun.

“Pada peringkat awal pelaksanaan, bantuan ini hanya melibatkan asnaf, fakir dan miskin yang menerima bantuan kewangan dan makanan secara bulanan daripada ZPP.

“Bagaimanapun bermula 2008, program ini telah diperluas dan sumbangan hamper turut dipertimbangkan melalui permohonan oleh pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya pada Majlis Agihan Zakat Nur Ramadan di Kompleks Darul Hidayah Permatang Tok Gelam di sini hari ini.

Menerusi program itu, setiap penerima mendapat sumbangan RM800 iaitu wang tunai berjumlah RM700 dan RM100 lagi e-tunai bagi penebusan hamper.

Menurut Mohamad, penyediaan peruntukan untuk inisiatif berimpak tinggi merupakan satu daripada strategi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat. 

“Hala tuju kerajaan negeri melalui Visi Penang2030 selari dengan hasrat Ekonomi MADANI yang tiwikrama menoktahkan kemiskinan tegar terutama di Pulau Pinang. Justeru, momentum pelaksanaan daripada Program Nur Ramadan ini berpaksikan hala tuju yang sama bagi membolehkan agenda pembasmian kemiskinan dalam kalangan masyarakat Muslim di negeri ini dapat dijayakan dengan seoptimum mungkin,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arshad Iran, 66, nelayan dari Pulau Mertajam berkata bantuan tunai yang diterima akan digunakan bagi membeli barangan sebagai persediaan menyambut Ramadan nanti.

“Bantuan RM800 merupakan satu jumlah yang banyak memandangkan saya tidak lagi dapat turun ke laut sejak lebih setahun lepas berikutan kekangan kesihatan dan kini hanya membuat pukat secara kecil-kecilan.

“Jadi, sumbangan ini amat bermakna dan akan dimanfaatkan sebaik mungkin apatah lagi Ramadan dan Syawal akan disambut tidak lama lagi,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan