Sanusi Suka Hebah Maklumat Penting Mesyuarat - Saifuddin Nasution

10/03/2024 08:20 PM

KULIM, 10 Mac (Bernama) -- Sikap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa sering menghebahkan maklumat penting mesyuarat kerajaan kepada umum terutama di pentas ceramah politik menyebabkan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah tidak diadakan.

Pengerusi Bersama MTPN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata justeru itu, Muhammad Sanusi tidak perlu merungut berikutan sikap beliau sendiri yang tidak menjaga dekorum dan etika mesyuarat.

“Mesyuarat-Mesyuarat rasmi kerajaan ada yang bertaraf rahsia besar, bertaraf sulit dan kalau dia hadir mesyuarat Persekutuan kemudian balik hanya untuk memperlekeh apa yang berlaku dalam mesyuarat maka dia seorang yang tak jaga dekorum.

“Dia tak perlu mengadu kenapa mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri tidak dibuat... Saya dapati apabila dia balik dari mesyuarat itu, dia gunakan maklumat dalam mesyuarat untuk ceramah kepada PAS cawangan sedangkan maklumat yang disampaikan tidak memberi gambaran sebenar," katanya.

Saifuddin Nasution, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan Polis Diraja Malaysia Kedah bersama masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim hari ini.

Pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Khamis lepas, Muhammad Sanusi mendakwa Saifuddin Nasution tidak pernah memanggil beliau bermesyuarat bagi membincangkan projek infrastruktur Kerajaan Persekutuan di negeri itu sejak majlis tersebut ditubuhkan.

Saifuddin Nasution juga berkata tiada sebarang kesan terhadap tugas dan peranan beliau sebagai Pengerusi Bersama MTPN dalam memantau pelaksanaan projek Persekutuan di Kedah walaupun mesyuarat tidak diadakan bersama Muhammad Sanusi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan