BUKIT MERTAJAM, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang hari ini menyita sebuah lori lima tan berserta dua set pam membabitkan nilai rampasan RM55,350, dipercayai digunakan bagi penyelewengan diesel bersubsidi.
Pengarah KPDN negeri S.Jegan berkata sitaan menerusi serbuan Ops Tiris 3.0 di sebuah stor tidak berlesen di Kawasan Perindustrian Machang Indah itu turut menemukan 14,900 liter diesel dianggar bernilai RM32,035 yang disimpan dalam 25 unit tangki 'Intermediate Bulk Container' (IBC).
"Dua lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 20-an yang bekerja di stor terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Sindiket dipercayai membeli diesel daripada stesen-stesen minyak di sekitar Pulau Pinang dan dibawa ke stor ini yang hanya dijadikan sebagai pusat pengumpulan. Berdasarkan maklumat awal kita percaya diesel itu akan dihantar ke Kedah seterusnya diseludup ke Thailand," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Jegan berkata kebanyakan sindiket dikesan menggunakan modus operandi sama dengan menjadikan lokasi terpencil atau sunyi sebagai tempat beroperasi selain sering berpindah-randah bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
Beliau berkata pihkanya sedang mengesan pemilik premis itu dan kes disiasat lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Jegan memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan penjualan kurma dipercayai dari Israel di Pulau Pinang dan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan.
Justeru, beliau meminta orang ramai membuat laporan sekiranya terdapat kurma dipercayai dari Israel dijual di negeri ini.
"Kita menempatkan pegawai penguat kuasa yang melakukan pemantauan di pasar awam, pasar raya dan terbaharu di bazar Ramadan. Kita juga ada pegawai pemantau harga yang membuat perbandingan harga.
Semalam, media melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 73 pek buah kurma 'Organic Jumbo Medjool Dates' seberat 14.6 kilogram (kg) bernilai RM678 yang dipercayai produk dari Israel di sebuah gudang di Klang, Selangor selain menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan