PAPAR, 16 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memeriksa 7,527 premis perniagaan dalam Ops Kesan yang dilaksanakan bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan cukai perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus bermula 1 Mac lalu.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata menerusi Ops Kesan itu juga 409 notis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk tindakan selanjutnya dan 25 aduan telah diterima pihaknya setakat ini.
“Notis dikeluarkan apabila kita dapati ada peniaga lakukan pelarasan harga (setelah kenaikan cukai perkhidmatan) kita mahu mereka jawab mengapa lakukan perubahan harga sedemikian, justifikasi harga itu dan sebagainya.
“Kita mahu memastikan tidak ada berlaku kenaikan harga yang tidak wajar dan tidak mematuhi undang-undang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Tinjauan Mesra Program Jualan Rahmah (PJR) dan Bazar Ramadan Rahmah di Tapak Tamu Mingguan Papar di sini hari ini.
Beliau berkata selain itu, Ops Pantau juga sedang dilaksanakan sejak hari pertama Ramadan pada Selasa lalu dan menerusi operasi itu 6,566 premis telah diperiksa, 226 aduan diterima dan 26 kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lajut.
Armizan berkata Ops Pantau dilaksanakan bagi pemantau perkara berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan dan kepatuhan halal terutama pada bulan Ramadan ini serta Syawal yang bakal tiba.
“Kita lakukan pemeriksaan dan pemantauan secara lebih kerap dan bersasar ke atas bekalan barang yang menjadi tumpuan rakyat pada bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan barang untuk membuat kuih muih.
Katanya KPDN turut mempertingkatkan keberadaan 2,200 anggota penguat kuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna termasuk melalui Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna serta kereta peronda bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan selamat dan beretika.
“Selain itu pegawai pemantau harga KPDN seramai 900 orang juga turut sama digerakkan bagi membantu pelaksanaan pemantauan harga di lapangan. Kita harap melalui Ops Kesan dan Ops Pantau juga operasi kita yang lain kepentingan rakyat itu dapat dijaga,” katanya.
Mengulas mengenai PJR Ramadan, beliau berkata setakat ini sebanyak 70 program telah diadakan daripada sasaran 450 program di seluruh negara bagi membantu rakyat membeli barang keperluan dengan harga lebih murah berbanding pasaran.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan