Mains Kaji Naikkan Had Kifayah Tentukan Fakir Miskin

22/03/2024 09:58 AM

SEREMBAN, 22 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sedang dalam kajian semula untuk menaikkan kadar had kifayah bagi menentukan fakir dan miskin di negeri ini bagi memudahkan proses pemberian bantuan.

 Pengerusinya Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata ketika ini kadar had kifayah semasa yang digunakan MAINS untuk menentukan kadar kecukupan isi rumah adalah berjumlah RM2,418.

“Pendapatan di bawah kadar RM2,418 akan dikira sebagai miskin selepas dibuat tapisan dalam sistem e-had kifayah MAINS ketika ini. Jadi kita mahu ia dinaikkan selaras dengan kajian berkaitan Pendapatan Garis Kemiskinan yang telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Kajian semula had kifayah di negeri ini dilaksanakan bersama dengan beberapa penyelidik dari universiti awam...mungkin mengambil tempoh enam bulan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama media di sini.

Beliau berkata MAINS mengagihkan dana zakat berjumlah RM172.9 juta membabitkan 59,152 penerima meliputi bantuan asnaf fakir, miskin, mualaf, ibnu sabil, fisabilillah, amil dan gharimin pada tahun lepas.

Abdul Aziz berkata untuk Ramadan ini juga MAINS menyalurkan keseluruhan bantuan berjumlah RM17.4 juta melibatkan pelbagai skim bantuan yang disediakan melibatkan 29,868 penerima.

-- BERNAMA


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan