Malaysia Sambut Baik Resolusi Gaza, Seru Unsc Pastikan Israel Penuhi Kewajipan

26/03/2024 09:49 AM

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2728 (2024) mengenai Gaza pada Isnin, menuntut gencatan senjata serta-merta, pembebasan tebusan tanpa syarat dan penghantaran segera bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Selasa berkata Malaysia juga menyeru agar Majlis Keselamatan PBB memastikan Israel memenuhi tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa dan menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Malaysia berpandangan penerimaan resolusi itu merupakan satu kejayaan besar memandangkan konflik di Gaza bermula lebih lima bulan yang lepas.

“Malaysia telah sekian lama menyeru agar Majlis Keselamatan PBB memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan bagi melindungi rakyat Palestin daripada kekejaman Israel yang sehingga kini telah meragut nyawa lebih 32,000 orang awam,” kata Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu, sekatan sempadan rejim Israel telah mengakibatkan risiko kebuluran dan malnutrisi bagi 2.3 juta penduduk di Gaza.

Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan supaya Palestin diterima sebagai Anggota penuh PBB, menurut kenyataan itu.

UNSC meluluskan resolusi menuntut "gencatan senjata segera dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan, dihormati oleh semua pihak  sambil menyasarkan satu gencatan senjata yang berkekalan."

Resolusi itu juga menuntut "pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan dan memastikan akses untuk mereka mendapatkan keperluan perubatan dan bantuan kemanusiaan lain."

Sementara itu, Agensi Anadolu dalam laporannya berkata 14 negara mengundi menyokong resolusi itu, yang dibentangkan oleh 10 ahli Majlis yang dipilih manakala Amerika Syarikat berkecuali daripada mengundi.

Israel melancarkan serangan ketenteraan maut di wilayah Palestin sejak 7 Okt 2023, dengan lebih 32,333 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 74,694 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Perang Israel, yang kini memasuki hari ke-171, telah mendorong 85 peratus penduduk Gaza menjadi pelarian di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada Januari lalu mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan