KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Malaysia hari ini menyatakan ketegasan dalam menyokong Resolusi 2728 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan menggesa agar resolusi yang diiktiraf mengikut undang-undang itu, dikuatkuasakan serta-merta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat Gaza mesti dibebaskan daripada keseksaan dan penderitaan yang telah dialami mereka selama hampir enam bulan.
"Sempena Ramadan yang menimbulkan keinsafan, bulan bermunajat dan untuk meningkatkan amal serta kembali bersama-sama keluarga, resolusi yang diiktiraf mengikut undang-undang hari ini mesti dikuatkuasakan dengan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Resolusi UNSC 2728 yang diluluskan semalam menuntut agar gencatan senjata segera bagi semua konflik di Gaza sepanjang Ramadan, pembebasan serta-merta semua tebusan, serta keperluan mendesak dan penting untuk memperluaskan aliran bantuan ke wilayah tersebut.
Perdana Menteri berkata Amerika Syarikat khususnya harus memastikan sekutunya menghormati kehendak komuniti antarabangsa dan mengikutinya dengan mematuhi gencatan senjata serta membenarkan bantuan kecemasan dan kemanusiaan dibawa masuk ke Gaza secara besar-besaran dan segera.
Anwar berkata Malaysia juga memuji keberanian dan komitmen 10 negara anggota Majlis yang dipilih iaitu Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan dan Switzerland atas keberanian dan komitmen mereka terhadap isu kemanusiaan.
"Malaysia kekal komited terhadap isu Palestin dan akan terus berusaha untuk mewujudkan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negerinya, serta Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB," katanya.
Israel melancarkan operasi ketenteraan di wilayah Palestin sejak 7 Okt 2023 dengan lebih 32,333 warga Palestin terbunuh dan lebih 74,694 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Perang Israel, yang kini memasuki hari ke-171, telah mendorong 85 peratus penduduk Gaza menjadi orang pelarian tatkala dalam suasana kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan