KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Penerimaan Resolusi 2728 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa gencatan senjata segera konflik Israel-Hamas, dialu-alukan banyak negara di seluruh dunia.
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata beliau mengalu-alukan penerimaan Majlis Keselamatan PBB terhadap resolusi yang meminta gencatan senjata segera di Gaza, dan melepaskan kesemua tawanan tanpa syarat dengan segera.
“Pelaksanaan resolusi ini penting untuk melindungi kesemua orang awam,” kata beliau dalam hantaran di laman X.
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez, yang juga membuat hantaran di X , menzahirkan sokongannya dan berkata ia selari dengan pendirian Sepanyol sejak permulaan konflik itu.
“Pelaksanaan dua negara, Israel dan Palestin yang hidup berjiran dalam keadaan aman dan selamat ialah satu-satunya penyelesaian realistik dan berdaya maju untuk rantau itu,” katanya.
Duta Perancis ke PBB Nicolas de Riviere menekankan kepentingan penerimaan Resolusi 2728, membangkitkan keupayaan Majlis Keselamatan untuk bertindak tegas apabila kesemua ahlinya melaksanakan mandat mereka.
de Riviere menggariskan keperluan tindakan segera Majlis Keselamatan untuk memecah kebuntuannya dalam situasi di Gaza dan menekankan betapa pentingnya majlis itu terlibat secara aktif dalam usaha untuk mencari satu penyelesaian kepada konflik itu.
Tambahan pula, beliau berkata terdapat keperluan berterusan untuk usaha mendapatkan gencatan senjata yang dapat bertahan lama dan menghidupkan semula proses politik ke arah penyelesaian dua negara.
Wakil Algeria ke PBB, Amar Bendjama, yang mengundi menyokong resolusi itu berkata akhirnya Majlis Keselamatan PBB memikul tanggungjawabnya sebagai organ penting bertanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli majlis di atas kefleksibelan mereka dan pendekatan membina yang membenarkan kami untuk menerima resolusi yang amat ditunggu-tunggu ini.
Satu resolusi yang menggesa supaya satu gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai yang malangnya masih berterusan sejak lima bulan lepas. Keadaan bermandi darah in telah berlaku terlalu lama,” katanya.
Duta Rusia ke PBB, Vasily Alekseyevich Nebenzya berkata Moscow berharap resolusi ini akan digunakan untuk kepentingan kedamaian daripada meneruskan operasi ketenteraan Israel yang tidak berperikemanusiaan terhadap warga Palestin.
Beliau berkata Rusia lebih menyukai gencatan senjata dalam Ramadan ini akan membawa kepada gencatan senjata yang kekal.
“Kami kecewa kerana ini tidak dapat diluluskan. Bagaimanapun, kami percaya mengundi resolusi ini penting untuk keamanan. Majlis perlu teruskan usaha untuk mencapai satu gencatan senjata kekal,” katanya.
Majlis Keselamatan PBB pada Isnin meluluskan satu resolusi meminta satu gencatan senjata di Gaza semasa bulan Ramadan yang bermula dari 11 Mac dan dijangka berakhir pada 9 April.
Empat belas negara mengundi menyokong resolusi itu, dibentangkan 10 anggota majlis yang dipilih sementara Amerika Syarikat berkecuali dalam undian itu.
Serangan tentera Israel ke atas wilayah Palestin sejak 7 Okt lepas mengorbankan lebih daripada 32,333 warga Palestin dan lebih 74,694 cedera selain daripada kemusnahan penempatan dan infrastruktur berskala besar dan kekurangan barangan keperluan yang meruncing.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan