Usaha Kumpulan Minoriti Serang Dasar Kerajaan Perlu Dibendung - Ahmad Zahid

28/03/2024 09:05 PM

BANTING, 28 Mac (Bernama) -- Usaha kumpulan minoriti khususnya mereka yang pernah berada dalam kerajaan menyerang dasar dan inisiatif yang diperkenal oleh Kerajaan MADANI perlu diberi perhatian serta dibendung, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata walaupun hanya segelintir, tindakan individu terbabit perlu diberi perhatian agar usaha kumpulan antigolongan berkuasa ini tidak mempengaruhi pemikiran majoriti rakyat sehingga memberi kesan kepada perancangan yang direncana oleh kerajaan untuk kebaikan rakyat dan negara.

Merujuk isu pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai contoh, Ahmad Zahid berkata walaupun dasar itu adalah baik tetapi serangan yang dibuat oleh kumpulan terbabit telah memberi kesan kepada pendaftaran rakyat dalam sistem tersebut.

“Apabila kerajaan merancang melaksanakan kaedah subsidi bersasar serta memperkenal PADU dan pendaftarannya, balingan kebencian dibuat dengan mengatakan Kementerian Ekonomi ingin menggali maklumat peribadi rakyat.

“Mereka ini tergolong dalam kumpulan minoriti atau tidak kurang 22 peratus daripada kumpulan antigolongan berkuasa yang akan menentang apa sahaja perkara baharu yang dibuat oleh kerajaan semasa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Masjid Jamek As-Solihin di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata semua pihak dalam kerajaan perlu bergerak seiring bagi memastikan usaha kumpulan minoriti ini dapat dibendung kerana jika tidak, mereka akan menjadi umpama ‘biawak hidup’ kepada sebarang perancangan memajukan negara.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata kumpulan antigolongan berkuasa itu, yang gemar menggelar orang lain sebagai biawak hidup, sentiasa mencari salah orang lain dan menganggap diri mereka sahaja betul baik semasa dalam kerajaan mahupun ketika tidak menjadi kerajaan.

“Mereka ini masa dalam kerajaan ketuanya sentiasa salah dan bila di luar kerajaan, orang lain juga sentiasa disalahkan… ini yang harus dibendung sebab golongan sebegini memang ada dalam negara kita,” katanya.

Justeru itu, Ahmad Zahid mengingatkan seluruh jentera kerajaan agar berpijak di bumi dan bekerja sehabis baik dalam melaksanakan amanah demi kesejahteraan rakyat serta negara.

“Untuk itu, setiap daripada kita perlu mengambil pendekatan bawah ke atas iaitu dekati rakyat di akar umbi dan guna maklumat diperoleh untuk rancang strategi memajukan golongan tersebut,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan Lembaga Penasihat GiatMara Selangor dan sumbangan duit raya kepada 132 pelajar tahfiz serta anak yatim dalam kariah Masjid As-Solihin.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan