Cuaca Panas: Kerajaan Pantau Paras Empangan, Pastikan Bekalan Air Cukup

30/03/2024 03:28 PM

KUCHING, 30 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan terus memantau paras air empangan di seluruh negara bagi memastikan bekalan air mencukupi berikutan cuaca panas dan kering yang melanda Malaysia ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata secara keseluruhan, situasi takungan air di empangan masih terkawal dan boleh bertahan sekurang-kurangnya sehingga tempoh 90 hari. 

“Mungkin ada beberapa empangan yang paras kritikal namun itu bukan secara menyeluruh di seluruh negara dan meskipun isu air adalah di bawah bidang kuasa negeri menerusi syarikat air, namun kita (Persekutuan) bantu pantau.

“Situasi paras empangan adalah baik untuk tempoh 90 hari lagi dan kita jangka keadaan cuaca ini akan tamat sehingga tengah April dan (paras air) kembali seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita selepas Program Jiwa Madani Jalinan Kasih Ramadan di Surau Darul Naim, di sini hari ini. 

Beliau berkata beberapa empangan di negeri utara Semenanjung berada pada paras kritikal susulan kawasan berkenaan mengalami suhu panas tertinggi.

Semalam, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan memaklumkan sumber bekalan air mentah dan perkhidmatan di 47 empangan  serta 67 Loji Rawatan Air (LRA) utama di seluruh Semenanjung dan Labuan, masih berada dalam keadaan terkawal.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai situasi bekalan air bersih di Sabah, Fadillah berkata kerajaan Persekutuan telah menyediakan geran dan pinjaman untuk menyelesaikan kemelut itu. 

“Itu inisiatif kerajaan negeri lah sama ada bantu sediakan trak dan beri bekalan air.. menerusi syarikat serta pembekal air yang dilantik," katanya. 

Pada 13 Mac, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Papar dalam kenyataan mengisytiharkan Papar, terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas melanda kawasan tersebut.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan