Kerajaan Mahu Syarikat Malaysia Manfaatkan Fta, Teroka Pasaran Baharu

01/04/2024 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kerajaan mahu syarikat Malaysia meneroka pasaran baharu menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata syarikat perlu mencari pasaran baharu untuk pertumbuhan perniagaan, dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah diberikan tanggungjawab untuk menumpukan usaha memperoleh pasaran baharu.

“Kita juga sedang melihat kepada EU dan kita mahu memulakan perbincangan mengenai FTA EU-Malaysia. Saya berharap FTA ini akan membawa sesuatu.

“Dalam masa terdekat (kita juga akan) menyambung semula (rundingan FTA) dengan Korea Selatan dan saya berharap syarikat mesti memanfaatkan FTA ini,” katanya pada program Ihya Ramadan dan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd di sini, pada Isnin.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata industri halal merupakan bahagian penting dalam tumpuan MITI melalui Halal Development Corporation (HDC).

Justeru, beliau mahu syarikat yang berkecimpung dalam industri itu supaya tidak keberatan untuk bekerjasama rapat dengan HDC dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka dalam bidang ini.

“Kita baru sahaja menetapkan pelan hala tuju HDC untuk pembangunan halal. Sasaran untuk pasaran halal global bernilai US$5 trilion dan kita mahu memastikan kita menguasainya kerana Malaysia berada pada kedudukan yang baik (untuk menguasai bahagian pasaran itu),” katanya.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan