14 Lokasi Jualan Agro Madani Di Terengganu Sempena Aidilfitri

03/04/2024 01:08 PM

KUALA TERENGGANU, 3 April (Bernama) -- Sebanyak 14 lokasi Jualan Agro MADANI sempena Aidilfitri beroperasi di seluruh Terengganu sepanjang April ini bagi membantu orang ramai terutama golongan kurang berkemampuan mendapatkan barangan makanan dan keperluan, pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu Hasmila Abas berkata antara produk yang menjadi buruan ramai pengunjung menjelang Aidilfitri ini termasuk daging tempatan, beras putih tempatan, ayam dan telur yang dijual pada harga 30 hingga 50 peratus lebih murah.

Beliau berkata setakat ini tiga siri Jualan Agro MADANI dianjurkan di sekitar Kuala Terengganu, dan orang ramai boleh mengikuti media sosial LPP untuk mengetahui lokasi penganjuran seterusnya di daerah lain.

"Lokasi penganjuran kita pilih di kawasan tumpuan ramai termasuk perkarangan masjid, Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pejabat LPP di daerah-daerah," katanya pada sidang media Program Jualan Agro MADANI sempena Aidilfitri di perkarangan Masjid Jamek Pengadang Baru, di sini hari ini.

Hasmila berkata pihaknya juga menyasarkan kedatangan 5,000 pengunjung dengan jualan sekitar RM100,000 di setiap lokasi penganjuran Jualan Agro MADANI.

Beliau berkata sejak dilancarkan tahun lepas program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada ratusan ribu rakyat Terengganu, malah ia turut membantu ahli LPP memasarkan terus produk pertanian mereka kepada pelanggan.

Seorang peniaga ayam yang ditemui di sini Mohd Al Kahuri Rosli, 34, berkata orang ramai mula membanjiri perkarangan masjid seawal 6.40 pagi untuk mendapatkan ayam pada harga RM7.60 sekilogram berbanding harga biasa RM10 hingga RM10.50 sekilogram.

"Saya sampai di lokasi jualan sekitar pukul 6.40 pagi. Itu pun dah ada orang menunggu di masjid untuk beli ayam. Tak sempat kemas betul-betul gerai dah kena serbu," katanya dan menambah dalam tempoh sejam sahaja satu tan ayam telah terjual.

Sementara itu seorang pengunjung Siti Munirah Jamil, 45, yang ditemui di sini berkata beliau mengambil peluang membeli-belah di Jualan Agro MADANI untuk menjimatkan perbelanjaan harian memandangkan harga barangan basah seperti ayam dan daging tempatan jauh lebih murah berbanding hari biasa.

"Harga daging tempatan murah sungguh… hanya RM27 sekilogram berbanding RM36 sekilogram. Jualan tidak ada had. Saya beli 10 kilogram untuk simpan buat rendang hari raya nanti," katanya.

Selain itu beliau juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan empat ekor ayam dan dua papan telur yang dijual pada harga RM11.80 sepapan untuk keperluan bulan Ramadan yang masih berbaki kira-kira seminggu lagi.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan