Mta Salur Rm30,000, Rai 200 Mualaf Sempena Program Mahabbah Ramadan

04/04/2024 12:04 AM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) --  Persatuan Takaful Malaysia (MTA) hari ini menyalurkan sumbangan RM30,000 kepada 200 mualaf dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sempena program Mahabbah Ramadan menerusi kempen #TakafulUntukSemua.

Ketua Pegawai Operasi MTA Hasri Hamidan berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak RM10,000 disalurkan kepada PERKIM dan sebanyak RM100 sumbangan duit raya diberikan kepada 200 mualaf yang diraikan dalam Majlis Iftar Mahabbah Ramadan tersebut.

“Majlis Iftar Mahabbah Ramadan ini turut mendapat sokongan daripada Etiqa Family Takaful Berhad (EFTB) dalam menyalurkan dana wakalah zakat untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

“Penganjuran program sebegini bukan sahaja dapat menggembirakan golongan mualaf yang bakal menyambut Aidilfitri, malah ia turut memberi peluang kepada para pengendali Takaful di Malaysia untuk terus bersama membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Mahabbah Ramadan #TakafulUntukSemua dengan kerjasama PERKIM Kebangsaan di sini hari ini.

Turut hadir dalam program berkenaan adalah Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Datuk Razali Shahabudin dan Ketua Jabatan Penyelidikan Shariah dan Pusat Kecemerlangan EFTB Mohamad Noor Sahidi Johari.

Hasri berkata sepanjang bulan Ramadan ini, MTA juga menganjurkan program berbuka serta menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan antaranya para pelajar tahfiz, anak-anak yatim dan juga fakir miskin.

“Di samping itu, pihak kami turut menekankan pendidikan literasi kewangan selaras dengan Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) yang juga termasuk dalam memperkasakan Rangka Kerja Rangkuman Kewangan (FIF) 2023-2026 terhadap seluruh lapisan masyarakat.

“Melalui program sebegini, secara tidak langsung kita dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan perlindungan Takaful sebagai salah satu instrumen kewangan yang sangat penting dalam pengurusan kewangan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain Hasri berkata MTA baru-baru ini telah memperkenalkan pelan transformasi Hijrah27 dalam memperkasakan industri Takaful di negara ini.

Katanya MTA akan meneruskan pelbagai aktiviti dan program literasi kewangan yang lain, antaranya Takaful Masuk Kampung (TMK), Takaful in Campus (TiC) serta program kolaborasi bersama agensi kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM).

Selain itu, ia juga turut melibatkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) ke seluruh negara pada masa akan datang.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan