Ukm, Rakan Industri Santuni Pelajar Tahfiz Sempena Ramadan

05/04/2024 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama rakan industri, meraikan pelajar tahfiz Masjid Al-Hasanah melalui Program Sentuhan Kasih Ramadan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM) UKM, yang diadakan di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, semalam.

UKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, rakan industri universiti berkenaan yang terlibat ialah Bank Rakyat, Sabella, Hospital Islam Az-Zahrah dan Syarikat Abdul Antiques.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Prof Datuk Ts Dr Norazah Mohd Nordin dalam kenyataan sama berkata program itu, diadakan bagi menyantuni komuniti bersama pihak industri yang menjadi rakan strategik UKM.

“Kita mahu tonjolkan keterlibatan rakan industri yang sentiasa bersama UKM. Jadi, kita mengajak mereka untuk turut sama-sama meraikan dan memberi sedikit sumbangan kepada anak-anak tahfiz ini, bagi menyambut hari raya yang bakal tiba.

“Selain itu, kita turut memberi sumbangan jubah kepada guru-guru dan mewakafkan Al-Quran kepada anak-anak tahfiz ini. Walaupun jumlah yang disumbangkan ini tidaklah besar, tetapi kita berharap dengan sedikit sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada mereka semua dalam menyambut hari raya,” katanya.

Pada majlis itu, UKM bersama rakan industri memberi sumbangan duit raya, tudung dan serban kepada 58 orang pelajar tahfiz yang berumur 10 hingga 19 tahun.

Menurut kenyataan UKM itu, mereka berganding bahu dengan rakan industri dan masyarakat, bagi menganjurkan beberapa program yang memberi inisiatif kepada warganya dan juga masyarakat di sekitarnya sepanjang bulan Ramadan.

Antaranya menyediakan hidangan berbuka puasa untuk 1,000 orang pada Program Ihya Ramadan, yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UKM, serta penduduk sekitar yang hadir untuk berbuka puasa di Masjid UKM dan sekali gus menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih di masjid itu.

Program itu telah menerima sumbangan lebih RM140,000 yang disumbangkan oleh orang perseorangan, alumni UKM, warga UKM dan juga orang ramai.

Disamping itu, pelbagai aktiviti kerohanian turut diadakan di UKM sepanjang bulan Ramadan, seperti siri ceramah agama dan tazkirah yang melibatkan warga UKM dan jemputan industri, sambutan majlis Nuzul Al-Quran dan bantuan kepada gelandangan di sekitar ibu negara.

Sementara itu, melalui portfolio HEJIM UKM, beberapa program antarabangsa juga telah dirancang iaitu program tahunan Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) yang menghimpunkan belia dari 10 buah negara ASEAN. Program ini telah diadakan sejak tahun 2013. 

Dua lagi program yang bakal berlangsung pada Mei ini adalah Persidangan Serantau AsiaEngage dan Persidangan Wakaf Antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan