Program Sepatu Raya, Benita Santuni 50 Anak Yatim

06/04/2024 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Sebanyak 50 remaja perempuan dari Rumah Amal Kasih Bestari, Kampung Melayu Subang, di sini hari ini dirai dalam Program Sepatu Raya anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) sempena Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata program itu merupakan acara tahun yang dianjurkan persatuan tersebut bagi menyantuni golongan yang memerlukan seperti anak yatim dan asnaf agar bersama-sama dapat merasai kemeriahan hari raya. 

“Alhamdulillah pagi ini kami menyambut kehadiran kira-kira 50 anak yatim dari Rumah Amal Kasih Bestari untuk membeli-belah sepatu raya sumbangan Benita. Program ini merupakan kali ke-13 dianjurkan Benita.

“Kami menyantuni anak yatim dan asnaf ini untuk memberikan keceriaan kepada mereka dalam menyambut Aidilfitri dan hari ini kita boleh lihat sendiri mereka (begitu) ceria memilih kasut raya,” katanya ketika ditemui pada program itu yang berlangsung di kedai kasut Bata, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Beliau berkata sumbangan yang diberikan pada program tersebut merupakan hasil kutipan daripada warga Bernama yang  dilancarkan sejak bulan lepas.

“Benita mengalu-alukan sumbangan daripada ahli dan warga Bernama,  Alhamdulillah tahun ini kutipan mencecah RM10,000. 

“Hari ini kita tidak meletakkan had kepada anak-anak ini untuk membeli-belah supaya mereka gembira serta berpuas hati dengan pilihan dan kehendak masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Nur-ul memaklumkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan Bernama bersama beberapa rakan strategik terutamanya pada Ramadan.

Menurutnya sebagai contoh, pada Ramadan ini agensi berita itu telah melaksanakan dua program CSR bersama rakan strategik CSA Academy iaitu menyantuni anak-anak yatim dari Keramat dan program CSR Bernama di Dataran Putrajaya.

Sementara itu, Penjaga Asrama Rumah Amal Kasih Bestari Fakhriyah Hazan berkata pihaknya berterima kasih terhadap usaha dan keprihatinan warga Bernama dalam menyantuni anak-anak yatim di bawah seliaannya terutama menjelang lebaran ini.

“Alhamdulillah sebanyak 50 daripada 158 anak yatim berusia antara 13 dan 19 tahun dari rumah amal ini disantuni dan menerima sumbangan Benita. Terpancar rasa gembira pada wajah anak-anak ini apabila mereka berpeluang memilih sendiri kasut mengikut cita rasa masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan