Maxis Sumbang Kotak Makanan Raya Kepada Keluarga B40

08/04/2024 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka negara, Maxis mengagihkan kotak makanan Hari Raya Aidilfitri untuk 200 keluarga B40 di Lembah Pantai, di sini dan Tanjong Tokong, Pulau Pinang sempena amalan bersedekah pada bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Mariam Bevi Batcha berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada aktiviti amal dan tanggungjawab sosial korporat syarikat secara tahunan bagi meraikan setiap perayaan di negara ini.

Kotak makanan yang disumbangkan itu mengandungi nutrisi penting untuk golongan yang memerlukan dan isi rumah yang kurang bernasib baik semasa musim perayaan.

“Di Maxis, kami komited untuk membuat perubahan yang bermakna dalam komuniti yang kami menawarkan khidmat. Dalam persiapan menyambut Hari Raya, kami bersyukur kerana dapat menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan sokongan.

“Maxis mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mariam Bevi menyampaikan kotak makanan kepada isi rumah di Lembah Pantai dengan dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Bagi masyarakat di Tanjong Tokong pula, Ketua Wilayah Maxis (Utara) Leonard Chin Ying Choi menyampaikan kotak makanan dengan kehadiran Exco Infrastruktur dan Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari semasa program Iftar Jamae Masjid Tuan Guru yang diadakan baru-baru ini.

Sementara itu, sebagai tanda penghargaan kepada anggota tentera yang akan bertugas pada Aidilfitri yang dijangka disambut Rabu ini, Maxis menyumbangkan 1,000 pek kuih raya sebagai tanda terima kasih atas khidmat mereka.

Mariam Bevi menyampaikan sumbangan itu kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu majlis yang diadakan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) di sini.

-- BERNAMA

 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan