Great Eastern Takaful Kongsi Rezeki Bersama Masyarakat Sepanjang Ramadan

08/04/2024 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB), syarikat pengendali takaful keluarga, membuktikan komitmennya membantu masyarakat yang memerlukan melalui Program GREAT Ramadan dengan penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta pemerkasaan komuniti.

GETB dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara aktiviti yang dilaksanakan ialah menyantuni kira-kira 70 anak yatim dan asnaf daripada Pusat Jagaan Kasih Murni dan Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad dengan kerjasama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin).

“Program ini telah dihadiri 33 sukarelawan daripada Great Eastern Takaful dan usaha kolektif tersebut memberikan pengalaman bernilai kepada kanak-kanak berkenaan apabila mereka diberi peluang membeli pakaian raya serba baharu dalam suasana kekeluargaan,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman dalam kenyataan yang sama berkata Program GREAT Ramadan itu, yang merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat GET-Care, adalah usaha jangka panjang pihaknya untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat yang dibantu.

“Hari ini, kami dengan rendah hati memberikan sokongan kepada mereka dan momen paling bermakna apabila kami dapat melihat senyuman pada wajah kanak-kanak yang disantuni.

“Kami juga telah melancarkan kutipan dana untuk membantu dua rumah kebajikan ini dengan memberikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan dan semoga usaha ini dapat membantu persediaan mereka untuk menyambut Syawal,” katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, beliau berkats GETB juga menganjurkan majlis berbuka puasa untuk 100 kanak-kanak dan penjaga daripada Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS) di Temu Jelatek.

Menurutnya inisiatif itu melambangkan keprihatinan GETB dalam menyantuni kanak-kanak yang menghidap kanser serta keluarga mereka dalam majlis yang mencipta seribu kenangan dan berharap agar aktiviti sebegini dapat meningkatkan nilai positif serta memberikan sokongan terbaik dalam menempuhi proses pemulihan mereka.

Shahrul berkata pihaknya akan terus meningkatkan nilai optimis serta perpaduan melalui aktiviti yang bermakna seperti ini demi memperkasakan kehidupan masyarakat supaya mereka dapat mencapai kejayaan bersama-sama.

Sementara itu, di bawah inisiatif GET-Pintar, GETB telah menganjurkan program Kembali ke Sekolah dengan menyediakan bantuan kelengkapan pembelajaran kepada 100 pelajar daripada komuniti miskin dan miskin tegar di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang.

Usaha itu, katanya adalah bagi memastikan pelajar berkenaan mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk memulakan sesi baharu persekolahan seperti pakaian seragam, kasut, tudung, dan beg sekolah.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan