Kkm Keluar 1,639 Notis Dalam Ops Kebersihan Dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2024

09/04/2024 12:46 PM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Sebanyak 1,639 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dengan nilai kompaun berjumlah RM163,900 telah dikeluarkan dalam Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bazar Ramadan bermula 12 Mac hingga 5 April lepas.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan notis dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis dan pengendali makanan atas pelbagai jenis kesalahan seperti tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan antitifoid dan pakaian pengendali makanan tidak mematuhi keperluan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Sehingga 5 April 2024, KKM menerima 29 aduan berkaitan makanan yang dijual di bazar Ramadan seluruh negara. Sebanyak 20 aduan selesai disiasat manakala sembilan aduan masih dalam proses siasatan," menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan sebanyak 1,299 lokaliti bazar Ramadan di seluruh negara telah diperiksa bagi tempoh 12 Mac hingga 5 April lepas melibatkan pemeriksaan sejumlah 43,304 premis. 

Daripada jumlah itu, sebanyak tiga premis makanan diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, menurut KKM.

Bagi pengendali makanan pula, KKM memaklumkan seramai 85,903 pengendali makanan diperiksa menyaksikan 94.2 peratus mempunyai suntikan antitifoid dan 87.4 peratus telah menghadiri latihan pengendali makanan.

Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bazar Ramadan dilaksanakan KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) bagi memastikan makanan yang disediakan dan dijual selamat serta mematuhi kehendak Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Operasi itu dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan negeri di seluruh negara melibatkan pemeriksaan premis makanan seperti restoran, outlet makanan, gerai serta melibatkan pensampelan makanan. 

-- BERNAMA 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan