Pasar Basah Jadi Tumpuan Menjelang 1 Syawal

09/04/2024 04:14 PM

PASIR PUTEH, 9 April (Bernama) -- Pasar basah di kebanyakan tempat di Kelantan hari ini menjadi tumpuan utama orang ramai, bagi membuat persiapan akhir menjelangnya 1 Syawal.

Tinjauan Bernama di pasar basah Siti Hajar di sini mendapati antara premis yang diserbu pelanggan ialah kedai menjual santan segar dan ayam.

Peniaga santan segar Norhafezani Daud, 46, berkata jualannya meningkat dua kali ganda sejak beberapa hari lepas dan menyediakan kira-kira 3,000 biji kelapa sehari.

Beliau berkata bagi memastikan urusan perniagaan lebih lancar di hari-hari akhir Ramadan, dia mula melakukan persiapan membelah dan mengukur kelapa, sebelum masuknya waktu Subuh.

“Memang setiap kali hari raya jualan santan mendapat sambutan tiga kali ganda, oleh itu saya mendapatkan tujuh pekerja tambahan untuk membantu di kedai tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Norhafezani berkata beliau telah menempah kelapa lebih awal daripada pembekal dari Kampung Kulim, Pasir Puteh dan Kampung Beoh, Bachok bagi memastikan bekalan mencukupi untuk jualan, sempena hari raya yang dijual pada harga RM12 sekilogram.

Sementara itu peniaga ayam Mohd Norfarizu, 39, berkata dia menyediakan kira-kira 800 ayam sehari sejak beberapa hari lepas, berbanding 400 ekor pada hari biasa kerana sudah menjangkakan permintaan akan meningkat sekali ganda, menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata pada hari ini ,semua ayam yang dijual pada harga RM8.70 sekilogram habis dalam tempoh beberapa jam selepas kedainya dibuka, memandangkan pelanggan membeli dalam jumlah yang banyak.

Dalam pada itu antara barangan lain yang turut mendapat permintaan tinggi hari ini ialah daun palas dan daun kunyit.

Peniaga Norhayati Ahmad, 29, berkata 200 pelepah daun palas dan kira-kira 500 helai daun kunyit yang dijualnya, tidak dapat menampung permintaan pelanggan hari ini.

Beliau berkata daun palas yang dijual pada harga RM1 satu pelepah itu, mula laris sejak seminggu lalu menyebabkan pembekal tidak dapat menyediakan bekalan lebih banyak hari ini.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan