Umat Islam Diseru Istiqamah Ibadah Selepas Ramadan - Sultan Pahang

11/04/2024 06:37 PM

KUANTAN, 11 April (Bernama) --Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam khususnya di negeri ini supaya terus beristiqamah melakukan amal ibadah, kebaikan dan kebajikan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan lalu.

Baginda bertitah ibadah tersebut yang dilaksana dan dipertingkatkan sepanjang Ramadan lalu dharap dapat diteruskan amalannya pada bulan-bulan lain.

“Bersama-sama kita berusaha meneruskan segala ibadah sepanjang Ramadan ini seperti amalan sembahyang, jangan lupa puasa enam, jangan lupa pergi masjid khususnya waktu Subuh dan mengaji al-Quran. Saya juga ingatkan ini kepada diri saya dan keluarga juga,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. 

Turut berangkat mengiringi baginda, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sebelum keberangkatan pulang, baginda bersama paduka anakanda menghiburkan tetamu dengan mendendangkan tiga buah lagu iaitu Kisah Seorang Biduan, Gadis Melayu dan Butakah Cinta .

Dalam pada itu, Wan Rosdy selaku tuan rumah menjunjung kasih atas keberangkatan Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang serta paduka-paduka anakanda menghadiri rumah terbuka itu. 

Beliau berkata majlis yang bermula jam sembilan pagi itu telah dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung pelbagai kaum sekali gus membuktikan ikatan perpaduan yang terjalin selama ini kekal utuh. 

“Alhamdulillah, saya dapati apabila menjelangnya Aidilfitri dan adanya jamuan rumah terbuka seperti ini, ia dapat mengeratkan lagi silaturahim dengan tetamu yang hadir berbagai bangsa bahkan rakan yang hadir bukan sahaja dari Kerajaan Perpaduan.

“Tetapi juga, dari parti Perikatan Nasional pun turut hadir. Syukur, kita tidak membawa isu-isu yang merugikan negara dan negeri kita berpanjangan,” katanya sambil menambah semua pihak berperanan untuk menjaga keharmonian yang dinikmati selama ini.

Beliau berkata masyarakat sewajarnya perlu mengelak daripada menyentuh isu-isu yang boleh menggugat perpaduan dan sebaiknya berbicara secara berhemah, rasional dan tertib dalam sesuatu perkara. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan