Pm Gigih Kemudi Negara Ke Mercu Lebih Tinggi, Hindari Fitnah - Setiausaha Politik

13/04/2024 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Individu yang menjadikan fitnah sebagai kegiatan harian dinasihatkan meninggalkan amalan membadutkan diri dan merosakkan fikrah masyarakat kerana Islam itu rahmah dan menolak fitnah.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata Ramadan dan Syawal sepatutnya diisi dengan amal dan sikap yang lebih baik.

Sebaliknya beliau berkata bulan suci dirempuh dengan hamburan politik yang berbaur fitnah oleh beberapa watak yang mempunyai dendam tidak berkesudahan terhadap Perdana Menteri  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gigih mengemudi bahtera negara ke mercu yang lebih tinggi. 

"Ini jelas menampakkan keterdesakan mereka untuk mengepung minda masyarakat dengan cerita yang direka-reka serta tanpa asas kukuh dan ini bukti kegagalan mereka untuk membawa sebarang isu yang ampuh ke arah Perdana Menteri dan pentadbiran MADANI.

"Peribadi kita tidak seharusnya dekat atau terpalit dengan amalan jelik sebegitu. Tahap pengetahuan diri mesti ditingkatkan dan sewajarnya berjalan sederap dengan usia agar tidak semudah diperlekeh umpama ulat sampah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini,

Mengenai tahap kesihatan Perdana Menteri, Kamil yang merupakan antara individu yang dekat dengan Anwar berkata pemimpin negara itu baik walaupun diasak dengan jadual yang padat. 

Menurutnya untuk sosok yang berumur 76 tahun seperti Anwar, adalah biasa untuk kadang kala mengalami sedikit demam atau alahan. 

"Namun, kecekalan, semangat, ketangkasan serta kecerdasan beliau untuk bekerja terus mengampuh, malah untuk kami yang berada di barisan staf serta yang jauh lebih muda untuk mengejar ‘pace’ kerjanya juga kadang-kadang tertinggal. 

"Beliau tidak berganjak dari tekadnya untuk merubah negara dan perubahan itu adalah proses yang mesti ditelan meskipun  memakan masa dan menerima kecaman," katanya. 

Justeru, Kamil menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak terhadap pemfitnah dan memberi ruang sebebas mungkin kepada pengkritik yang jujur kerana hak demokratik tidak mencakup amalan memfitnah dan rekayasa. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan