Isteri Pengawal Peribadi Tak Sangka Suami Ditembak Pada Bulan Syawal

14/04/2024 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- “Terkejut dan tidak sangka perkara begini berlaku pada bulan Syawal,” demikian luah isteri kepada pengawal peribadi yang parah ditembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi tadi.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Siti Noraida, 28, itu berkata sejurus selepas menerima maklumat berkenaan kejadian sekitar pukul 2 pagi itu, beliau terus bergegas ke Hospital Cyberjaya untuk melihat suaminya yang sedang menerima rawatan.

“Pihak hospital memaklumkan keadaan suami saya ketika ini kritikal dan perlu ditidurkan. Saya juga diberitahu ada pendarahan teruk dan waktu tiba di hospital dia sesak nafas, tapi tiada organ penting yang kena (tembakan),” katanya kepada Bernama.

Suri rumah sepenuh masa itu berkata suaminya ditugaskan sebagai pengawal peribadi secara sambilan sebelum Ramadan lepas.

Terdahulu Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan berlaku kejadian tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 awal pagi tadi melibatkan seorang suspek lelaki yang telah dikenal pasti identitinya dan dipercayai telah melarikan diri ke Utara.

Beliau berkata kejadian adalah bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan