KOTA BHARU, 18 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Persekutuan berhubung penganjuran program Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 di negeri ini yang dijangka berlangsung pada 2 Mei ini.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata satu mesyuarat bersama akan diadakan dalam masa terdekat bagi menentukan gerak kerja dan lokasi program berkenaan.
“Memang ada satu kerjasama dengan kerajaan negeri namun kita belum selaraskan dan muktamadkan lagi.
"Kita akan bagi kerjasama penuh bagi menyokong penganjuran program ini. Mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan dari semua sudut termasuk berkaitan keperluan tertentu selain pemilihan lokasi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Hari Terbuka Aidilfitri PAS di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke IV di sini hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri juga yakin penganjuran sambutan Aidilfitri MADANI di Kelantan itu akan mendapat sambutan baik daripada seluruh rakyat negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata sejumlah RM3 juta sumbangan derma berjaya dikumpulkan melalui Tabung Palestin yang dilancarkan kerajaan negeri pada Ramadan lepas.
"Pungutan derma akan diteruskan dari semasa ke semasa terutama sepanjang Aidilfitri ini bagi menambah sumbangan sedia ada sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin," katanya.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan