Grab Malaysia Realisasikan Impian Pemenang Bertuah Tunai Umrah

06/05/2024 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Grab Malaysia mengakhiri Cabaran Ramadan-UmrahGrab dengan menyampaikan hadiah pakej umrah 12 hari 10 malam kepada pemenang bertuah dengan perbelanjaan dibayar penuh untuk mereka dan seorang peneman tersayang.

Menerusi kenyataan, Grab Malaysia memaklumkan pemenang itu antara 539,000 pengguna, rakan-penghantar dan pemandu yang menyertai cabaran berlangsung dari 18 hingga 31 Mac pada bulan Ramadan lepas.

Para pemenang yang bertuah telah menerima pakej meliputi khidmat pemindahan lapangan terbang, penginapan di Makkah dan Madinah, makan minum, Buku Panduan dan Kursus Umrah, serta mutawif yang ditugaskan khas mengiringi mereka sepanjang perjalanan umrah.

"Dianjurkan bersempena dengan kempen Ramadan Grab Malaysia bertemakan 'Kebaikan Dalam Setiap Pesanan', Cabaran Ramadan-UmrahGrab ialah satu daripada pelbagai inisiatif yang dianjurkan untuk menyambut bulan Ramadan yang mulia bersama pengguna, rakan-pemandu dan penghantar.

"Kempen Kebaikan Dalam Setiap Pesanan mencerminkan usaha gigih Grab dalam menyediakan kemudahan dan memupuk nilai penghargaan dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap rakan-pemandu dan penghantar yang memainkan peranan penting dalam kejayaan platform ini," menurut kenyataan itu.

Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia Rashid Shukor dalam kenyataan sama berkata pihaknya memahami kepentingan umrah bagi umat Islam di negara ini dan Grab Malaysia berbesar hati kerana dapat memainkan peranan untuk membantu memudahkan pemenang cabaran itu mencapai impian dan membolehkan mereka memulakan perjalanan rohani yang bermakna.

"Cabaran ini, bersama-sama inisiatif lain di bawah kempen Kebaikan Dalam Setiap Pesanan, ialah lanjutan daripada usaha kami untuk memperjuangkan kepelbagaian dan kebolehcapaian, serta mengiktiraf pelbagai impian dan aspirasi rakyat Malaysia.

"Kami berharap dapat mengadakan lebih banyak inisiatif bermakna yang boleh menangani keperluan rakyat Malaysia hari ini, mewujudkan impak berkekalan bagi mereka yang telah maju dan berkembang bersama Grab," katanya.

Dalam pada itu, Grab Malaysia turut berkongsi kisah menyentuh hati daripada rakan-penghantar Grab dari Pulau Pinang sejak 2021 iaitu Muhammad Faizal Zainor Abidin yang bukan sahaja berpeluang mengerjakan ibadah umrah bersama isteri apabila memenangi cabaran itu, tetapi juga ingin menziarahi pusara Allahyarham bapanya yang meninggal dunia di Makkah sebelum perkahwinan mereka.

"Ia merupakan impian seumur hidup saya untuk membawa keluarga menziarahi pusara bapa dan berkongsi kisah keluarga dengan arwah. Isteri merupakan satu-satunya pendorong semangat saya, terutama ketika menempuh hari-hari yang sukar. Saya kehilangan pekerjaan semasa pandemik, namun keyakinan dan sokongan isteri membuatkan kami kekal kuat sebagai sebuah keluarga yang menyokong satu sama lain dan demi tiga anak kami," katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, pengguna setia Grab Farah Nabilah Mohamad Yusof berazam untuk memenangi pakej berkenaan buat ibu dan dirinya sendiri apabila mengetahui tentang cabaran berkenaan melalui aplikasi Grab.

"Ibu saya merupakan individu yang tidak mementingkan diri sendiri, sentiasa mengutamakan keperluan adik-beradik dan saya. Ibu menjadi sinar yang menggalakkan kami untuk memasang impian yang besar dan jangan berputus asa mengejar impian itu.

"Terima kasih kepada Grab dan berkat doa serta sokongan ibu yang tidak berbelah bahagi, saya dan adik-beradik amat gembira kerana kami akhirnya dapat mengutamakan beliau dan menghadiahkan perjalanan umrah ini kepadanya bersempena dengan ulang tahunnya ke-55. Sebagai seorang yang gemar mengembara, saya juga kini boleh memenuhi impian hidup untuk menunaikan umrah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan