KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyasarkan 200 keluarga fakir, miskin dan asnaf di sekitar Lembah Klang untuk menerima bantuan perbelanjaan berbuka dan bersahur menerusi Program Sinar Kasih Ramadan (SKR) tahun ini.
YBK dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi program itu, wang tunai sehingga RM600 akan diberikan kepada penerima serta sumbangan barangan makanan daripada rakan-rakan strategik yang akan diserahkan seminggu sebelum Ramadan.
“Objektif utama program SKR adalah untuk meringankan beban keluarga fakir, miskin dan asnaf terpilih sepanjang bulan Ramadan, terutama dalam perbelanjaan berbuka dan bersahur.
“Sejak dimulakan pada tahun 2008, sebanyak 3,809 keluarga telah mendapat manfaat daripada program ini. YBK menilai beberapa kriteria, termasuk Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan keadaan sosioekonomi keluarga,” menurut kenyataan itu.
YBK memaklumkan maklumat mengenai keluarga fakir, miskin dan asnaf terpilih diperoleh daripada pelbagai sumber, seperti pihak sekolah, ketua komuniti dan sukarelawan YBK.
“YBK turut mengalu-alukan sumbangan daripada individu, organisasi, dan badan korporat untuk menaja keluarga ini bersama-sama dengan menyalurkan sumbangan ke MBSB Bank Berhad (Yayasan Basmi Kemiskinan) nombor akaun 1005 0540 0000 3480,” katanya.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan