PPj sedia 160 gerai bazar Ramadan, sasar 1,500 pengunjung sehari

15/03/2022 02:28 PM

PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) -- Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan 1,500 pengunjung Bazar Ramadan setiap hari pada tahun ini yang akan beroperasi pada 3 April hingga 2 Mei ini.

Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj Nik Shukri Nik Soh berkata Bazar Ramadan tahun ini  menempatkan 160 gerai menjual hampir 1,000 juadah berbuka puasa yang akan bermula pukul 3 petang hingga 8 malam.

Bercakap pada sidang media Festival Ramadan Putrajaya 2022 di sini hari ini, Nik Shukri berkata pergerakan pengunjung bazar yang bertempat di Tapak Bazar Ramadan Presint 3 berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin itu akan dipantau anggota penguat kuasa PPj, anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya.

“Kita (PPj) akan guna sistem pas bernombor seperti tahun lepas untuk mengawal jumlah pengunjung. Anggota yang ditugaskan akan memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pengunjung.

“Aspek pemantuhan SOP akan dititik berat memandangkan kita masih hidup bersama pandemik COVID-19. Setiap pengunjung perlu mematuhi arahan seperti memakai pelitup muka dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera sebelum dibenarkan masuk ke dalam bazar,” katanya.

Pada 13 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran operasi perniagaan bagi Bazar Ramadan tahun ini dan akan mengumumkan SOP kelak.

Nik Shukri berkata berikutan kebenaran tersebut, pihaknya mahu memberi peluang kepada usahawan dan peniaga untuk memulakan kembali kegiatan ekonomi mereka yang terjejas berikutan pandemik COVID-19, sekali gus menyokong proses pemulihan ekonomi Putrajaya.

Beliau berkata penganjuran Bazar Ramadan itu adalah antara program Festival Bazar Ramadan Putrajaya 2022 selain program Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar.

Selain itu katanya, PPj turut meluluskan 100 tapak Bazar Ramadan di kawasan parkir Park & Ride di Presint 14 bagi membolehkan pengunjung membuat pilihan lokasi bazar.

Mengenai kadar sewa tapak Bazar Ramadan, Nik Shukri berkata pihaknya mengenakan sewa sebanyak RM850 sebulan.

-- BERNAMA