Lapan EPB dipasang di Jonker Walk cegah jenayah
MELAKA, 16 Mac (Bernama) -- Lapan 'Emergency Panic Button' (EPB) akan dipasang di kawasan tumpuan pelancong sekitar Jonker Walk di sini, secara berperingkat menjelang Jun ini dalam usaha mewujudkan persekitaran selamat dan aman.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata buat permulaan tiga EPB berkenaan telah dipasang di tiang persimpangan Jalan Hang Kasturi/Hang Lekir, bersebelahan A.I. Hotel serta Taman Antarabangsa, dan sistem berkenaan boleh digunakan mangsa jenayah atau masyarakat setempat di kawasan berkenaan.
Beliau berkata Jonker Walk merupakan projek perintis bagi pemasangan sistem EPB memandangkan kawasan berkenaan menerima kunjungan kira-kira 4.5 juta pelancong setahun, dan ia dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta dari Selangor sebagai salah satu kaedah efektif mencegah jenayah.
"Sistem kecemasan ini dilengkapi dengan siren yang akan berbunyi apabila butang berkenaan ditekan dan signal kecemasan akan disalurkan ke Unit Polis Pelancong untuk bantuan dalam tempoh masa kurang tujuh minit.
"Bantuan akan digerakkan oleh Skuad Rondaan Berbasikal Unit Polis Pelancong, Unit Rondaan Bermotosikal dan Skuad Taming Sari (STS) yang menggunakan motosikal 'scrambler'," katanya kepada pemberita selepas melancarkan EPB di Jonker Walk di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit dan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street Datuk Gan Tian Loo.
Abdul Majid berkata sistem EPB berkenaan akan diperluaskan ke kawasan tumpuan pelancong lain di negeri itu dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan pentadbiran masing-masing.
"Jika projek perintis ini berjaya mengurangkan statistik jenayah di kawasan terlibat, kita akan buat satu kertas cadangan untuk memperluaskan pemasangan EPB ke kawasan tumpuan lain kerana kita mahu beri keyakinan kepada pelancong yang datang ke Melaka," katanya.
Sementara itu beliau berkata pihaknya bersedia menempatkan anggota polis untuk bertugas memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bazar dan pasar ramadan yang akan dibuka di Melaka bulan depan.
Katanya bagaimanapun jumlah penempatan anggota di setiap bazar dan pasar Ramadan belum diputuskan kerana pihaknya masih menunggu pelbagai makluma daripada PBT, seperti bilangan serta luas bazar dan pasar Ramadan yang akan dibuka daripada PBT.
"Kesihatan awam amat penting khususnya dalam tempoh penularan COVID-19, jadi pematuhan SOP penting agar wabak ini dapat dikawal," katanya.
-- BERNAMA