Islamic Relief Malaysia sasar kutip dana RM2.32 juta menerusi rezeki Ramadan

17/03/2022 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Islamic Relief Malaysia menyasarkan kutipan dana sebanyak RM2.32 juta menerusi projek Rezeki Ramadan bagi membantu golongan yang memerlukan di 32 negara termasuk Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata orang ramai boleh memilih beberapa pakej sumbangan dalam bentuk pek makanan bernilai RM200, RM250 serta RM350 yang disediakan dan Islamic Relief Malaysia akan menyerahkan pek makanan itu kepada penerima. 

Beliau berkata sumbangan itu akan diberikan kepada 44,450 penerima manfaat menerusi edaran 8,890 pek makanan dengan tema #gandakanpahala.

"Kami menganggarkan satu keluarga lima orang dengan satu pek makanan. Kita akan menyediakan beberapa pek sumbangan makanan antaranya pek makanan bernilai RM200 untuk Malaysia, Bangladesh iaitu tempatan dan pelarian Myanmar, India, Sri Lanka, Bosnia dan Herzegovina.

"Pek makanan RM250 pula untuk Afghanistan, Afrika Selatan, Albania dan beberapa negara Islamic Relief beroperasi. Terdapat juga pek makanan bernilai RM350, sumbangan ini akan disalur kepada negara seperti Iraq, Jordan, Palestin dan Syria," katanya ketika ditemui pada program mySinggah Ramadan Bersama Media di Wisma Bernama di sini hari ini.

Zairulshahfuddin berkata sumbangan tersebut akan diedar di sepanjang bulan Ramadan dan di Malaysia, mereka menyasarkan kira-kira 6,000 keluarga.

"Setiap pek makanan Rezeki Ramadan yang diedar dilengkapi dengan bekalan makanan asas atau makanan ruji penerima manfaat mengikut negara masing-masing seperti beras, tepung, jagung, pasta, bijirin, kekacang, daging dalam tin, minyak masak, gula, uncang teh, kurma dan lain-lain.

"Beberapa pihak korporat telah memberikan komitmen contohnya beberapa bank tempatan telah menaja pek makanan ini sejak ia dilancarkan pada 31 Jan lepas dan akan berakhir 2 Mei nanti," katanya. 

Orang ramai yang berminat untuk turut serta dalam program berkenaan boleh melayari laman sesawang Islamic Relief Malaysia di www.islamic-relief.org.my

-- BERNAMA