Berita-berita ringkas Dewan Rakyat: 21 Mac
PROMOSI BERTERUSAN PASTIKAN FESTIVAL LAYANG-LAYANG TERUS DIKENALI
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia akan memastikan Festival Layang-layang di Pasir Gudang, Johor terus dikenali di dalam dan luar negara.
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya akan meneruskan promosi dan pembangunan pakej yang bersesuaian untuk meningkatkan jumlah pengunjung ke Johor khususnya dan Malaysia secara amnya.
"Festival ini sentiasa menerima sambutan yang menggalakkan baik daripada pengunjung dari dalam mahupun luar negara. Pada 2019, iaitu edisi terakhir festival ini dianjurkan setakat ini, ia berjaya menarik penyertaan 43 negara melibatkan 215 peserta dari luar negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada MOTAC memberi kerjasama kepada kerajaan Johor dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang untuk meningkatkan Festival Layang-layang ke taraf global dan terkenal di seluruh dunia.
-- BERNAMA
KAJIAN SEMULA PELAN PEMBANGUNAN PADI DI SARAWAK, TINGKAT TAHAP SARA DIRI
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Jabatan Pertanian Sarawak sedang mengkaji semula perancangan asal pelan pembangunan padi di kawasan Sungai Tunoh dan Nanga Merit sebagai kawasan pengeluaran padi utama di Kapit.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata langkah itu diambil bagi mewujudkan model pembangunan yang holistik dan mampan selaras dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara serta aspirasi pembangunan kerajaan Sarawak untuk meningkatkan tahap sara diri bagi beras di Sarawak.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) yang ingin tahu status skim menanam padi di Nanga Merit dan Sungai Tunoh di Kapit.
-- BERNAMA
BEKALAN AYAM MENCUKUPI MENJELANG RAMADAN
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi jaminan bekalan ayam mencukupi dan stabil sepanjang Ramadan yang bermula awal April ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata kerajaan mengambil langkah jangka pendek dan panjang termasuk mengimport 10,000 tan metrik ayam bulat (sejuk beku) dari luar negara bagi memastikan bekalan ayam sentiasa mencukupi.
"Kerajaan juga memberi subsidi sejumlah RM528 juta meliputi 60 sen sekilogram bagi ayam serta lima sen untuk sebiji telur (gred A, B dan C) kepada penternak (tempatan) yang terbeban dengan peningkatan kos pengeluaran dan makanan ternakan ayam.
"Inisiatif subsidi itu dijangka memberi manfaat kepada 2,061 penternak ayam pedaging dan 194 penternak ayam penelur di seluruh negara," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai jaminan kerajaan untuk memastikan bekalan ayam mencukupi dan harganya terkawal, terutama menjelang bulan Ramadan nanti.
-- BERNAMA