AKM Perlis komprehensif dan inklusif, beri manfaat kepada rakyat

24/03/2022 11:49 AM

KANGAR, 24 Mac -- Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis yang bersifat komprehensif dan inklusif, bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri itu tanpa mengira latar belakang, kata Menteri Besarnya Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata program tiga hari itu yang akan bermula esok, bukan sahaja memberi tumpuan kepada kumpulan sasar bahkan kepada semua lapisan masyarakat sama ada yang berumur, golongan muda, pelbagai bangsa dan agama.

“Mereka ini akan disajikan dengan pelbagai program khusus seperti peluang perniagaan, kesihatan, kerjaya, sukan, keagamaan dan kebudayaan,” katanya pada temu bual eksklusif bersama Bernama.

Program AKM yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra sehingga 27 Mac ini, dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Azlan berkata dari segi peluang perniagaan, AKM mampu menjadi ‘lubuk rezeki’ buat peniaga di negeri ini mengembangkan perniagaan mereka selepas terjejas berikutan penularan wabak COVID-19 sebelum ini.

Katanya penganjuran program itu juga membuka ruang kepada peniaga meneroka bidang baharu di luar negeri ini yang berkemungkinan menyediakan peluang lebih berpotensi, menerusi jalinan kerjasama dan padanan perniagaan.

“Di luar Perlis mungkin ada peluang tersedia di luar kebiasaan yang mereka (peniaga) boleh lakukan dan ia membuka ruang untuk mereka kembangkan lagi perusahaan sekali gus menambah pendapatan dengan perniagaan baharu.

“Terdapat 40 reruai disediakan sepanjang program itu dan di sinilah peluang buat peniaga ini mengadakan rundingan antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, Azlan berkata penganjuran AKM di Perlis terdapat sedikit kelainan dilakukan apabila pihak penganjur turut menyelitkan program yang bersesuaian khususnya menjelang kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Antara kelainan yang diatur adalah Program Bicara Mufti dan Forum Ihya Ramadan yang diatur oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya pada program tersebut, selain turut membantu pencari kerja dari segi bimbingan menghadapi temu duga dan penyediaan resume. 

Berdasarkan persediaan dan semangat yang ditunjukkan oleh para petugas, beliau yakin penganjuran AKM di Perlis akan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA