COVID-19: Terengganu rekod 831 kematian sejak pandemik

24/03/2022 03:00 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Mac (Bernama) -- Terengganu telah merekodkan 831 kes kematian akibat COVID-19 setakat semalam, kata Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak.

Beliau berkata daerah Kuala Terengganu merekodkan kematian tertinggi iaitu 175 kes, diikuti Besut (141), Dungun (139), Kemaman (133), Marang (85), Kuala Nerus (79), Setiu (40) dan Hulu Terengganu (39).

"Sehingga kini 118,281 kes kumulatif positif COVID-19 telah direkodkan di Terengganu, namun alhamdulillah kerana sejak kebelakangan ini kes kritikal kemasukan ke hospital tidak terlalu banyak.

"Oleh itu, kami berharap orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan kerajaan menjelang Fasa Peralihan Ke Endemik 1 April ini," katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Ditanya mengenai rungutan rakyat Terengganu berhubung keputusan kerajaan negeri melarang aktiviti berbuka puasa di kawasan lapang dan terbuka pada Ramadan nanti, beliau berkata hasil semakan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) aktiviti tersebut adalah dibenarkan.

"Oleh itu, kami benarkan orang ramai berbuka puasa di kawasan lapang dengan mengambil kira rintihan peniaga, semoga dapat menjana semula sosioekonomi setempat.

"Namun, pemantauan dan penguatkuasaan akan tetap dijalankan agar orang ramai mengambil berat isu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan SOP yang lain terutama ketika berada di bazar Ramadan," katanya.

Sementara itu, Dr Alias memberitahu pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menguruskan 5,530 tan sampah dan sisa buangan banjir di Kemaman serta Hulu Terengganu selepas dua daerah itu dilanda banjir teruk pada akhir bulan lepas.

"Daripada jumlah itu, 2,830 tan sampah diuruskan Majlis Perbandaran Kemaman, manakala 2,700 tan oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu.

“Kakitangan pembersihan terpaksa bekerja keras kerana jumlah sampah berkenaan terlalu besar berbanding banjir biasa sekitar 30 hingga 50 tan sampah sahaja," katanya.

-- BERNAMA