P. Pinang benar bazar Ramadan dan pasar tani di pekarangan masjid
GEORGE TOWN, 24 Mac (Bernama) -- Prosedur operasi standard (SOP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang baru dikeluarkan hari ini antara lain membenarkan operasi bazar Ramadan dan pasar tani di kawasan pekarangan masjid dan surau di negeri itu.
Yang Dipertua MAINPP Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I berkata kebenaran itu dibuat bagi merancakkan ekonomi peniaga, masjid, surau dan negeri.
"Sebelum pandemik COVID-19, memang ada beberapa masjid dan surau benarkan operasi bazar Ramadan dan pasar tani sepanjang bulan puasa namun ia dihentikan sejak 2020 dalam usaha membendung penularan wabak tersebut.
"Namun sepanjang bulan puasa tahun ini menerusi SOP baharu di masjid dan surau, kami benarkan operasi bazar Ramadan dan pasar tani di situ, ini antara lain bagi memudahkan orang ramai mendapatkan keperluan serta meningkatkan ekonomi peniaga serta negeri," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Pulau Pinang mengumumkan untuk membenarkan pelaksanaan solat berjemaah secara merapatkan saf di surau dan masjid di seluruh negeri itu bermula 1 April ini bagi mengikut ketetapan SOP yang dibuat di peringkat pusat berhubung solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal.
Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April. Keputusan itu dibuat susulan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula bulan hadapan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata SOP baharu itu juga membenarkan tazkirah ketika solat tarawih namun tidak melebihi 10 minit dan kuliah di semua masjid serta surau turut dibenarkan.
Katanya, semua aktiviti sempena sambutan Aidilfitri termasuk solat sunat hari raya dan majlis jamuan hari raya juga dibenarkan dilaksanakan di semua masjid serta surau namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Takbir raya pada malam raya dan takbir dari rumah ke rumah juga dibenarkan. Selain itu, solat jenazah dan ziarah kubur dibenarkan di masjid dan surau serta penggunaan air kolah turut dibenarkan," katanya.
Beliau berkata pihaknya membenarkan kehadiran semua jemaah tanpa had umur dengan telah menerima dua dos vaksin dan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, mereka perlu ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang lengkap vaksinasi.
"Pekeliling ini berkuat kuasa mulai solat subuh 1 April sehingga arahan baharu dikeluarkan dan ia tertakluk kepada perubahan arahan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa atau sehingga satu tempoh diisytiharkan keadaan kembali selamat oleh kerajaan," katanya.
-- BERNAMA