Selepas setahun, peniaga Pasar Dato Keramat lega dapat kembali berniaga
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Seramai 50 peniaga di Greenbelt, Pasar Dato Keramat di sini yang kedai mereka musnah dalam kebakaran pada 17 Mac tahun lepas sehingga sebahagiannya hilang pendapatan, kini menarik nafas lega apabila dapat kembali berniaga di gerai baharu yang dibangunkan semula di kawasan itu.
Lebih menggembirakan, Sinotech Properties Development Sdn Bhd sebagai pemaju kepada projek pembangunan semula Pasar Dato Keramat juga tidak mengenakan caj sewaan gerai kepada peniaga yang keseluruhannya bernilai RM1.5 juta itu.
Peniaga santan, Shoid Chee, 60, berkata beliau gembira dapat kembali berniaga di situ walaupun pernah hilang pendapatan hampir RM3,000 hingga RM4,000 sebulan sejak kedai asalnya musnah terbakar.
“Saya berterima kasih kepada pemaju yang mengeluarkan perbelanjaan untuk membangunkan semula gerai di tapak asal ini dan kami peniaga hanya perlu bayar untuk caj elektrik dan air sahaja.
“Saya jangka dapat berniaga pada 1 April ini memandangkan perlu melakukan sedikit pengubahsuaian pada gerai,” katanya kepada Bernama selepas ditemui pada majlis sesi penyerahan kunci kepada peniaga yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Peniaga nasi lemak, Ramlah Ali, 69, pula berkata sepanjang tempoh setahun selepas kebakaran itu, beliau berniaga sementara di tepi sekolah berdekatan dengan pasar itu.
“Walaupun saiznya kecil sedikit berbanding gerai asal yang musnah terbakar, tapi saya tetap bersyukur dapat kembali berniaga di sini,” katanya yang telah hampir 40 tahun berniaga di situ.
Sementara itu, Shahidan dalam ucapannya berkata tanah di Pasar Dato Keramat dimiliki Sinotech Properties Development Sdn Bhd dan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR), gerai itu dibina sementara sebelum pembangunan semula pasar berkenaan yang lebih moden, bersih dan selesa dilaksanakan.
“Adalah diharapkan sesi penyerahan kunci pada hari ini dapat membantu peniaga untuk kembali bangkit berniaga terutama pada bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Pembangunan semula Pasar Dato Keramat pula nanti akan disokong dengan pembangunan kediaman baharu yang pastinya akan menyumbang kepada peningkatan kegiatan ekonomi dan pelanggan ke pasar itu kelak,” katanya.
-- BERNAMA