Solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di Kedah mulai 1 April
ALOR SETAR, 27 Mac (Bernama) -- Semua masjid dan surau di Kedah dibenarkan menganjurkan solat berjemaah sama ada solat fardu, solat Jumaat dan solat sunat tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan mulai 1 April ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata kebenaran itu adalah selaras dengan fasa peralihan ke endemik yang akan berkuat kuasa di seluruh negara pada tarikh tersebut dan setelah mendapat perkenan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Bagaimanapun, bagi aktiviti selain solat berjemaah penjarakan fizikal masih diwajibkan. Khutbah, ceramah, kuliah dan kelas pengajian di masjid atau surau dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh yang bersesuaian dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
“Jamuan makan, gotong-royong dan kenduri dibenarkan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurang satu meter. Wirid dan doa selepas solat dilaksanakan secara ringkas dan bersesuaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau pada bulan Ramadan juga perlu mengikuti SOP yang sama.
Katanya, solat berjemaah bagi solat sunat tarawih, tahajud, witir dan lain-lain boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan mengikut kapasiti masjid atau surau.
Mohd Yusri berkata aktiviti bukan solat pada bulan Ramadan termasuk majlis berbuka puasa, sahur dan moreh pula perlu dijalankan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan makanan digalakkan disediakan secara berbungkus.
Katanya, jemaah juga masih dikehendaki mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka sepanjang berada di premis, mendaftar kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera, telah menerima suntikan vaksin yang lengkap serta digalakkan membawa sejadah sendiri.
“Jemaah juga dilarang berkumpul di dalam kawasan masjid dan surau selepas solat seperti bersembang, melepak dan seumpamanya, tidur di dalam masjid atau surau dan bersalaman atau berpelukan sesama jemaah,” katanya.
-- BERNAMA