Babi Mangalitsa Memang Wujud. Ia BUKAN Kacukan Dengan Biri-Biri Tetapi Hasil Pembiakbakaan Tiga Spesies Babi

28/03/2022 05:37 PM
By :
Erwan Othman

SEKILAS FAKTA

  • Ia dikenali Mangalica atau Mangalitza, merupakan sejenis baka Hungarian yang telah dibiak sejak abad ke-19 dengan pembiakbakaan tiga jenis babi.

  • Babi Mangalitsa dikategorikan sebagai babi berbulu namun bukannya berbulu ekoran kacukan dengan biri-biri.

Babi tidak boleh dikacuk dengan biri-biri kerana kedua-dua haiwan itu berlainan kromosom dan mustahil disenyawakan biarpun menggunakan kaedah sains.

  • Daging babi dan biri-biri juga berbeza kategori iaitu biri-biri berdaging merah manakala daging babi pula di bawah kategori putih. Perbezaan bagi kedua-dua jenis daging ini boleh dikenal pasti.

  •  

    pix1

     

    LATAR BELAKANG

    Berbaki kurang seminggu lagi umat Islam akan melaksanakan ibadah puasa tahun ini yang akan bermula 3 April.

    Kebiasaan bulan Ramadan memberi rezeki lumayan kepada peniaga daging termasuk daging kambing apabila bahan mentah tersebut mendapat permintaan tinggi berbanding bulan-bulan biasa.

    Ini berikutan penggunaan daging dalam pelbagai menu untuk berbuka puasa dan bersahur antaranya sup, masak kurma mahupun masak kari.

    Namun begitu wujudnya haiwan menyerupai babi dan biri-biri yang dikatakan kacukan kedua-dua haiwan itu menimbulkan kemusykilan ramai sehingga ada yang memilih untuk menolak sajian daging kambing kerana sangsi terhadap status haiwan tersebut.

     

    MENGENAI DAKWAAN

    Gambar tiga ekor ‘babi berbulu biri-biri’ tular di Facebook serta aplikasi WhatsApp, disertakan dengan amaran kepada umat Islam bahawa babi yang dikenali sebagai Mangalitsa adalah hasil kacukan baka babi dengan biri-biri dengan menggunakan teknologi baharu dari Austria.

    Orang ramai turut diminta berhati-hati terutamanya dengan pembelian daging babi yang disangka daging biri-biri setelah dibuang kepala selepas disembelih.

     

    pix2

     

    APA KAMI TEMUI?

    MyCheck memulakan langkah dengan membuat semakan berkaitan haiwan ternakan tersebut di media sosial untuk mengenal pasti adakah dakwaan tersebut baharu ataupun ditularkan semula.

    Kami dapati dakwaan itu telah ‘berlegar’ di media sosial sejak 2015 selepas ia dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama Dato Azuddin.

     

    pix3

     

    Namun setakat laporan ini ditulis (28 Mac 2022), semakan kami mendapati hantaran di akaun Facebook Dato Azuddin yang memiliki 2,106 pengikut itu telah tiada.

    Tidak pasti sama ada Dato Azuddin telah membuang hantaran itu atau sebaliknya.

    Bagaimanapun walaupun hantaran itu telah tiada namun isu sama berhubung babi mangalitsa kacukan biri-biri tular semula sejak beberapa tahun iaitu pada 2016, 2017, 2018, 2019 dan terbaharu menerusi WhatsApp pada tahun ini.

    Beberapa pengguna Facebook memuat naik hantaran dakwaan itu dengan kapsyen yang sama dan hampir sama antaranya anda boleh lihat di sini, di sini, di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.

    Penelitian lanjut, kami turut mendapati satu hantaran berkenaan babi Mangalitsa telah dibuat oleh pengguna Facebook dengan nama Razali Ramly pada 2014, lihat di sini.

    Namun hantaran itu tidaklah menyentuh mengenai ‘babi kacukan biri-biri’ sebaliknya hanyalah tentang apakah akan terjadi sekiranya banyak fabrik terhasil daripada bulu babi Mangalitsa yang menyerupai biri-biri.

    Bukan itu sahaja, kami turut menemui dakwaan dengan perkongsian yang hampir sama ditemui dalam Bahasa Indonesia antaranya di Facebook di sini dan di Twitter di sini.

    Bagi mengetahui dari manakah asal gambar tersebut, kami telah menggunakan carian imej berbalik dan hasilnya menemui gambar tersebut di sebuah artikel The Food Channel yang bertajuk Trend Watch: Chefs Are High On the Mangalitsa Hog.

     

    pix4

     

    Seterusnya, bagi mencari sejauh mana kesahihan dakwaan berkenaan pula, MyCheck telah membuat carian di Internet bagi memastikan kewujudan babi berbulu biri-biri yang dikenali sebagai babi Mangalitsa ini.

    Jadi, ya, babi Mangalitsa sememangnya benar-benar wujud dan gambar-gambar babi berbulu biri-biri yang ditemui di carian Google bukanlah gambar disunting atau teknik photoshop. Anda boleh baca jenis baka babi itu di sini.

    Melalui carian di beberapa artikel terpilih, kami merumuskan bahawa istilah Mangalitsa’ (ejaan US), Mangalitza (ejaan UK) atau Mangalica (ejaan Hungary asal) adalah nama saintifik merujuk kepada nama satu spesies binatang yang sama.

    Babi baka ini yang berbulu kerinting ini banyak dibiakkan terutama di Austria, Hungary dan negara-negara Balkan.

    Dalam bahasa Hungary, Mangalica atau Mangalitsa bermaksud ‘daging babi dengan banyak lemak’. Selain sangat berlemak, babi baka itu sangat pastoral dan tahan terhadap beberapa penyakit.

     

    Hasil Kacukan Tiga Baka Babi Berbeza

    Menurut dua artikel yang berbeza tentang babi yang berbentuk nota jurnal daripada The Pig Site dan Salute The Pig, babi berbulu biri-biri ini berasal dari Austria-Hungary, ‘dicipta’ sekitar 1830-an dikatakan hasil daripada tiga baka babi iaitu spesies Sumadija (dari Serbia), Bakony dan Szalonta (masing-masing dari Hungary) yang dibiakkan bersama-sama untuk menjadi spesies babi yang diberi nama Mangalitsa.

     

    pix5

     

    Babi Mangalitsa adalah berbeza dengan spesies babi-babi lain kerana ia tumbuh berbulu yang hampir serupa dengan biri-biri.

    Jadi percaya atau tidak, sememangnya terdapat haiwan lain selain biri-biri yang berupaya mengeluarkan bahan mentah bulu untuk menghasilkan ‘wool’.

    Menurut Salute The Pig lagi, baka babi lain yang mempunyai bulu yang panjang adalah jenis ‘Lincolnshire Curly Coat’.

    Kami turut menemui artikel di Amusing Planet menjelaskan bahawa sebelum ini babi Mangalitsa diternak untuk mendapatkan lemak babi namun disebabkan permintaan yang kurang terhadap lemak maka populariti baka ini telah merosot dan kini dianggap sebagai ;baka yang jarang ditemui’.

    Mangalitsa adalah baka babi yang paling menonjol di rantau Balkan sehingga 1950. Lemak, bacon dan salaminya adalah produk yang mendapat permintaan di pasaran Eropah.

    Disebabkan Mangalitsa ini mengandungi lemak antara 65 hingga 70 peratus, ia diminati hanya dalam kalangan masyarakat tertentu di Hungary dan beberapa negara Eropah sahaja.

    Lemak daripada babi Mangalitsa juga digunakan dalam masakan, pembuatan lilin, sabun dan kosmetik. Ini telah digunakan sebelum minyak sayuran diperkenalkan.

    Malah pelincir industri dan bahan letupan turut dihasilkan daripada lemak berharga ini.

    Oleh kerana babi Mangalitsa menghasilkan terlalu banyak lemak serta kurang daging, maka permintaannya mula berkurangan sekitar pertengahan abad ke-20 disebabkan kesedaran awam bahawa lemak tepu berbahaya kepada kesihatan dan lantas baka ini telah beransur-ansur digantikan dengan baka-baka moden.

    Disebabkan spesies ini dikatakan ‘rare breed’, lantas harganya kini menjadi sangat mahal.

     

    Bolehkah Babi Dan Biri-Biri Dikacuk?

    Dakwaan babi Mangalitsa yang kononnya dikacuk dengan baka biri-biri sehingga mencetus kebimbangan umat Islam sememangnya merupakan suatu dakwaan yang boleh meresahkan masyarakat.

    Menurut sumber pihak veterinar yang dipetik dari Harian Metro, baka babi tidak boleh dikacuk dengan biri-biri memandangkan kedua-dua haiwan itu berlainan kromosom dan mustahil disenyawakan biarpun menggunakan kaedah sains.

     

    pix6

     

    Ini kerana babi adalah haiwan monogastrik iaitu sistem pencernaan yang hampir serupa dengan manusia manakala biri-biri adalah ruminan iaitu memakan tumbuhan.

    Malah, daging babi dan biri-biri juga berbeza kategori iaitu daging biri-biri adalah daging merah manakala daging babi pula di bawah kategori putih. Jadi perbezaan bagi kedua-dua jenis daging ini boleh dikenal pasti.

     

    Jaminan Pihak Berwajib

    Kami turut mendapati isu ini mendapat perhatian dan pernah dijelaskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di akaun rasmi Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM pada 2015.

    Menerusi hantaran tersebut, JAKIM memberi jaminan bahawa umat Islam di negara ini tidak perlu bimbang kerana Malaysia tidak mengimport masuk daging kambing dan biri-biri dari negara Eropah.

    Menurut JAKIM daging itu diimport dari negara lain yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan JAKIM yang mempunyai pengiktirafan halal dari Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM.

    Erti kata lain, jenis babi ini belum ada di Malaysia dan tidak dibawa masuk. Kemasukan daging import sememangnya diawasi secara ketat oleh kerajaan.

    Kami turut mendapati pada 2017, JAKIM sekali lagi membuat hantaran serupa berserta pautan di Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM bagi memberi penjelasan di sebalik kekeliruan dakwaan yang kembali tular tersebut.

     

    pix7

     

    Malah MyCheck turut mendapati badan semakan fakta AFP telah membongkar dakwaan itu dan mengkategorikannya sebagai ‘Tidak Benar’.

     

    KESIMPULAN

    Bila sebut pasal babi, seluruh dunia maklum betapa sensitif haiwan ini buat umat Islam kerana ia dilarang disentuh apatah lagi dimakan, dijadikan pakaian atau kegunaan lain.

    Maka bila muncul isu kewujudan ‘babi berbulu biri-biri’, sedikit sebanyak tercetus kebimbangan dan kerisauan umat Islam, tambahan pula ada yang mendakwa rupa daging babi Mangalitsa ini menyamai daging biri-biri.

    Tidak salah kita sebagai umat Islam mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan termakan atau terpakai barangan yang bersumber daripada babi Mangalitsa ini.

    Paling utama, kita sebagai pengguna yang bijak, buatlah semakan fakta tentang sesuatu perkara yang meragukan. Jangan kita tanpa usul periksa menyebarkan maklumat tidak pasti yang akibatnya akan meresahkan sesama kita juga.

    Dalam kehidupan ini juga, usahlah menjadi musang berbulu ayam atau A wolf in sheep’s clothing, yang bermaksud orang yang kelihatan baik di luar tetapi ada niat jahat di dalam hatinya.

    Sebarkanlah perkara yang benar dan baik-baik kerana ia cerminan diri kita yang sebenarnya.

    -- MYCHECK.MY --

     

    RUJUKAN

    1.Mangalica. “Characteristics of the Mangalica breed” Diterbitkan pada 2018.

    2.Amusing Planet. “Mangalitsa, The Pig That Resembles a Sheep” Diterbitkan pada 4 Mei 2014.

    3.Jurnal Salute The Pig. “Mangalitsa/Mangalitza – you say potato, I say potato…” Diterbitkan pada 2013-2021

    4.Jurnal Salute The Pig. “Gone, but not forgotten; the Lincolnshire Curly Coat” Diterbitkan pada 2013-2021

    5..Harian Metro. “Memang mustahil”. Diterbitkan pada 21 Februari 2015.

    6.The Pig Site. “Swallow Bellied Mangalitsa” Diterbitkan pada 2000-2022.

    7.Semakan Fakta AFP. “Gambar ini menunjukkan baka babi Hungary yang berambut kerinting” Diterbitkan pada 3 Disember 2019.

    8.Astro Awani. “Daging kambing baik untuk kesihatan jantung” Diterbitkan pada 4 Jun 2013.

    9.Twitter Al-Ishaqy

    10.Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM (2015)

    11.Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM (2017)

    12.Facebook Dewi Vera Suzana

    13.Twitter wahyudi eko.eth

    14.Haluan Berliku Blogspot