LZS agih zakat hampir RM29 juta bantu asnaf, mualaf sambut Ramadan

29/03/2022 04:17 PM

SHAH ALAM, 29 Mac (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM28,637,750 kepada 62,769 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata setiap mereka akan menerima antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga. 

“Bantuan tersebut disalurkan melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima, menggunakan kaedah baucar tunai dan serahan tunai di cawangn LZS di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita selepas Program Agihan Perdana Bantuan Ramadan dan Syawal 2022 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini hari ini.

Mohd Sabirin berkata tahun ini, daerah Klang dan Petaling mencatat jumlah agihan tertinggi dengan masing-masing sebanyak RM5.189 juta dan RM5.186 juta kepada 11,232 serta 11,186 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Kuala Selangor mengagihkan bantuan RM3.029 juta kepada 6,836 asnaf manakala Hulu Langat sebanyak RM4.12 juta kepada 8,832 asnaf.

“Seramai 5,044 asnaf di Kuala Langat menerima agihan zakat sebanyak RM2.322 juta, Sabak Bernam  RM2.033 juta (4,832 asnaf) manakala Sepang RM1.283 juta (2,773 asnaf),” katanya.

Sementara itu, Mohd Sabirin turut menggalakkan para pengeluar zakat supaya terus menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian memandangkan kaedah tersebut mampu mengurangkan risiko wabak COVID-19 selain lebih cepat dan mudah dilaksanakan.

-- BERNAMA