Zakat fitrah di Kedah ditetapkan pada kadar RM7

31/03/2022 03:16 PM

ALOR SETAR, 31 Mac (Bernama) -- Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi negeri ini iaitu RM7, RM14 dan RM21.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata penetapan itu berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

“Semua umat Islam digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari, kadar RM7 iaitu beras super spesial tempatan; RM14 bagi beras super import, beras perang, beras pulut, beras ponni dan beras wangi manakala RM21 bagi mereka yang menggunakan beras basmati, beras Jepun dan beras merah.

“Bagaimanapun, sekiranya beras yang dimakan adalah beras super spesial tempatan, individu tersebut mampu membayar lebih pada kadar RM14 atau RM21, maka adalah digalakkan membayar zakat fitrah pada kadar yang lebih baik,” katanya pada sidang media mengumumkan penetapan kadar Zakat Fitrah Kedah 2022 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Syeikh Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agihan Zakat dan Ahli Lembaga LZNK berkata pihak lembaga zakat itu menggalakkan pembayaran zakat secara dalam talian selain bayaran dibuat menerusi 3,100 amil yang dilantik di seluruh negeri.

Beliau berkata pembayaran boleh dilakukan melalui laman sesawang JomZakat (jom.zakatkedah.com.my), portal pembayaran zakat fitrah (zakatfitrah.com.my), Zakat On Touch selain di kaunter bank dan amil yang dilantik di kariah masing-masing.

“Pada tahun ini juga amil yang dilantik akan menggunakan kaedah digital sepenuhnya sama ada menggunakan sistemMyAmil, memaparkan kod QR untuk diimbas pembayar zakat atau berkongsi pautan pembayaran yang disediakan. Pembayar pula akan menerima resit melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel,” katanya.

Bagaimanapun, Syeikh Fadzil berkata bagi pembayar yang menghadapi masalah menggunakan kaedah digital tidak perlu bimbang kerana amil yang dilantik akan dibekalkan buku resit zakat fitrah, namun pada kuantiti yang terhad.

"Pembayaran zakat fitrah hanya sah diperakui melalui platform digital yang telah disenaraikan dan melalui amil yang ditauliahkan LZNK serta mempunyai kad kuasa," katanya yang turut memaklumkan LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM11.7 juta dengan anggaran peningkatan sebanyak lima peratus berbanding kutipan tahun lepas sebanyak RM11.14 juta.

Dalam pada itu, katanya LZNK akan meneruskan Program Infak Aidilfitri dengan mengagihkan 7,400 ekor ayam segar kepada 3,700 keluarga  di daerah Sik, Padang Terap dan Yan dengan kos keseluruhan sebanyak RM100,000.

“Orang ramai yang ingin menyumbang bolehlah berbuat demikian melalui portal Asnaf Care di asnafcare.com.my mulai hari ini hingga ia ditutup pada 16 April nanti,” katanya.

-- BERNAMA