Kenderaan meningkat sempena pembukaan semula sempadan

31/03/2022 04:36 PM

BANDAR PENAWAR, 31 Mac (Bernama) -- Peningkatan secara mendadak jumlah kenderaan menggunakan Tambak Johor dan Linkedua dijangka berlaku pada Sabtu dan Ahad ini susulan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura bermula tengah malam ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata situasi ini berikutan pengembara dari Singapura akan mengambil kesempatan terutama pengecualian caj jalan dan tol selama seminggu yang diberikan.

Beliau turut menjangkakan peningkatan pengembara melalui dua laluan itu berikutan sambutan penting iaitu awal Ramadan (3 April) untuk mereka yang beragama Islam dan Hari Qing Ming (5 April) bagi masyarakat Cina.

"Jadi pengecualian ini menggalakkan mereka yang lama tidak balik ke Malaysia ataupun orang Singapura hendak masuk ke Malaysia dan seperti mana saya telah huraikan dua sambutan besar iaitu Awal Ramadan dan Hari Qing Ming.

"Lazimnya, secara tradisi mereka (masyarakat Cina) balik maklumlah dua tahun tidak boleh balik, mungkin ada yang ambil kesempatan untuk balik menziarahi kubur orang tua atau ahli keluarga mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Terminal Feri Desaru Coast, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata perniagaan di Johor Bahru juga dijangka rancak hujung minggu ini disebabkan banyak pengembara membeli belah dalam persiapan menghadapi Ramadan dan Aidilfitri selain menziarahi kawan-kawan dan saudara mara di Johor.

"Ini adalah satu fenomena yang kita akan lihat pada Sabtu dan Ahad ini dan saya yakin esok petang, kemasukan kenderaan akan kita lihat dari Singapura ke Johor dan ini memberi kesan yang sangat positif kepada ekonomi negeri Johor," katanya.

Menurut Wee, semua pintu sempadan antarabangsa melalui laluan darat, udara dan laut sudah dibuka sepenuhnya mulai esok.

Bagaimanapun, beliau berkata ada pengendali terminal feri masih membuat persiapan manakala syarikat penerbangan yang mungkin menganjak sedikit jadual penerbangan ke belakang berikutan penjualan tiket dan sebagainya.

"Jadi bermaksud darat, laut dan juga udara ...ketiga-tiga sektor ini telah kita benarkan pengembara masuk dengan tiga kaedah pengangkutan utama.

"Yang penting kita dah buka (sempadan) pada 1 April, maka (operasi) dah boleh berjalan seperti biasa dan mereka (pengembara yang lengkap vaksinasi) tidak perlu menjalani kuarantin lanjut...itu yang penting," katanya.

Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan merasmikan Terminal Feri Desaru Coast, yang dilihat bakal memacu pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi Johor Tenggara.

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Terminal feri yang dilengkapi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), serta kemudahan maritim akan menjadi pintu masuk baharu antarabangsa Malaysia ke-16 di Johor.

Dengan adanya terminal feri berkenaan, ia juga akan meningkatkan kesalinghubungan destinasi antarabangsa dari Singapura dan Batam serta Bintan, Indonesia.

-- BERNAMA